MANUAL oh MANUAL!!

Bismillahirrahmanirrahim….

Tidaklah patut bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya Kitab agama dan hikmat serta pangkat Nabi,kemudian dia tergamak mengatakan kepada orang ramai: Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang menyembahku dengan meninggalkan perbuatan menyembah Allah.Tetapi (sepatutnya dia berkata): Hendaklah kamu menjadi orang-orang Rabbaniyin (yang hanya menyembah Allah Taala dengan ilmu dan amal yang sempurna), kerana kamu sentiasa mengajarkan isi Kitab Allah itu dan kerana kamu selalu mempelajarinya. [al-imran : 79]

Manual? Apakah yang dikatakan dengan manually operated? Kenapa semua barangan harus punyai buku manual? Kenapa pengguna perlukan manual? Kenapa pencipta menciptakan sesuatu besertakan manualnya?Kenapa Sony mengeluarkan vaio notebook bersertakan buku manualnya?Kenapa Sharp mengeluarkan kamus elektronik bersertakan buku manualnya? Bahkan AU keitai pun ada manual booknya yang tersendiri.

Setiap sesuatu punyai penciptanya serta mempunyai buku manualnya tersendiri. Begitu juga manusia.Kita diciptakan Allah Yang Maha Pencipta dari tanah dan ruh sekaligus memuliakan dengan mengamanahkan bumi kepada kita. Maka untuk memakmurkan dan menyelarikan alam dan manusia seluruhnya, maka Allah menyediakan buku manual untuk kita. Subhanallah, Maha Suci Allah kerana menyediakan buku manual serta petunjuk yang agung pada kita. Alhamdulillah.

Adakah rakan-rakan sekalian sudah sedia maklum akan manual kita? Ya, manual kita ialah kitabullah yakni kitab suci al-Quran. Ingatlah ketika Junjungan Rasulullah berpesan pada ummat baginda di saat-saat akhir nafas baginda Rasulullah yang kita cintai itu telah mengatakan bahawa kita sebagai manusia tidak akan sesat selagi mana kita berpegang teguh pada al-Quran dan mengikuti as-Sunnah. Itulah harta peninggalan Rasulullah s.a.w yang sangat berharga dimana nilainya tiada tandingan dengan satu barang pun didunia ini. Itulah dua petunjuk; al-Quran dan as-Sunnah yang akan menunjukkan jalan menuju Allah dan juga jalan kebahagiaan dunia dan akhirat. Ameen.

Apakah saudara-saudara sekalian cukup merasa tenteram dengan hanya membaca al-quran tanpa memahami al-Quran dan melaksanakan tuntutan al-Quran dan as-Sunnah? Marilah kita bersama-sama menilai kembali apakah gambaran kasar yang terkandung dalam al-Quran. Marilah kita bersama-sama meneliti kembali bagaimana al-Quran dapat membentuk peribadi-peribadi yang dikehendaki Allah seperti peribadi-peribadi sahabat-sahabat Rasulullah. Rasulullah membentuk para sahabat dengan hanya menggunakan manual asal manusia yakni al-Quranul Karim. Maka rakan-rakanku sekalian, marilah sama-sama kita kembali merujuk manual kita untuk membentuk akhlak terpuji mahasiswa bestari yang merupakan tema ghuraba edisi golden week. Marilah kita bersama-sama merujuk kembali manual kita untuk kecemerlangan dunia dan akhirat kita, insyaAllah.

Pernahkah saudara-saudari ku sekalian terfikir, apakah sebenarnya gambaran kasar kandungan al-Quran seluruhnya? Bagaimanakah kita sebagai manusia harus berinteraksi dengan al-Quranul Karim? Untuk memahami al-Quran kita seharusnya memahami bahasa al-Quran itu sendiri yakni bahasa arab. Selain itu, kita juga harus memahami seerah atau sejarah Rasulullah s.a.w sekaligus memahami sebab-sebab penurunan ayat-ayat al-Quran. Syarat terakhir dalam memahami al-Quran adalah dengan menghayati serta menjalani kehidupan ini sepertimana Rasulullah dan para sahabat hidup yakni mengembalikan keadilan alam seluruhnya, lebih mudah jika dikatakan meletakkan kebenaran pada tempat asalnya atau dengan kata lain menyeru manusia seluruhnya kembali pada ketundukan hanya pada Allah dan menjauhi taghut.

Kita seharusnya berinteraksi dengan al-Quran dengan lebih mendalam bukan hanya setakat mentilawahkan al-Quran dan menyimpannya di rak buku di rumah. Kita harus mempunyai perasaan murni terhadap keagungan al-Quran dan matlamat kewujudan alam ini.

Saudara-saudaraku yang dirahmati Allah,
Kita seharusnya merasakan Allah sedang berbicara dengan kita ketika membaca al-Quran. Allah menyayangi kita dengan memberi kita al-Quran yang asalnya adalah ruh wahyu dari Allah. Allah menasihati kita, membelai kita, memberi amaran kepada kita, memberi tunjuk ajar pada kita malah mentarbiyah kita melalui al-QuranNya. Tapi hanya sedikit sahaja yang mengerti dan bersyukur. Kita hanyalah insan yang amat kerdil jika nak dibandingkan dengan keluasan alam ciptaan Allah ini. Kita adalah makhluk yang diberi penghormatan oleh Allah dengan memberikan kita al-Quran dan seluruh alam ini. Maka rakan-rakan seperjuanganku, bangunlah, sedarlah hidup kita ini tidak panjang. Kita PASTI akan kembali pada Allah. Capailah dan kejarilah kehidupan yang lebih berkat dan diredhai Allah. Sesungguhnya hidup dibawah bayangan al-Quran adalah hidup yang lebih berkat.

Sesungguhnya apa yang terkandung dalam manual kita adalah jauh lebih besar nilainya berbanding dengan ilmu-ilmu akal manusia, ilmu-ilmu sains, sains itu sendiri dan malah seluruh isi alam ini. Al-Quran merupakan wahyu dari Allah. Ia adalah murni, suci, luhur, dan merupakan petunjuk jalan pulang. Pulanglah ke rumah asal kita yakni syurga. Tiada pilihan lain selain syurga dan neraka sahaja kelak. Jalan-jalan untuk menuju syurga dan redha Allah itu hanyalah terkandung di dalam manual kita. Ikutilah manual dengan sepatutnya.

Selain itu, setelah membaca al-Quran dan memahami al-Quran, kita seharusnya dapat memahami kefahaman yang sempurna dan meliputi, serta dapat melahirkan tanggapan yang tinggi dan bersih terhadap alam al-wujud, terhadap matlamat alam seluruhnya dan terhadap matlamat kewujudan manusia itu sendiri. Kita sedia maklum, untuk membina tanggapan atau tasawwur haruslah melalui proses yang panjang. Jika kita deal dengan al-Quran seharusnya tanggapan kita terhadap apa saja akan dibina oleh al-Quran. Sebagai contoh, jika kita benar-benar memahami isi kandungan al-Quran dan merasai al-Quran itu telah membina peribadi kita maka kita akan merasakan nilai beribadat kepada Allah itu adalah lebih besar nilainya dari alam seluruhnya.

Selepas kita berinteraksi dengan al-Quran, kita seharusnya akan dapat merasakan adanya keseimbangan antara gerakan manusia seperti yang dikehendaki oleh Allah dan gerakan alam buana yang diciptakan Allah ini. Bagaimanakah kita akan tahu keselarian antara dua gerakan tersebut? Kita adalah insan kerdil malah tidak layak untuk menyoal tidak mengetahui akan keselarian tersebut sehinggalah kita merujuk manual kita yakni al-Quranul Karim. Allah telah turunkan manhaj islam untuk kita supaya keselarian antara gerakan tersebut wujud tetapi ramai manusia memilih manhaj atau sistem lain selain islam. Ingatlah!! Apabila keselarian antara gerakan manusia dan alam tidak wujud atau musnah maka alam ini akan musnah. Saat itu tiada lagi keampunan dari Allah. Pemilihan manusia kepada sistem selain islam hanya membawa padah dan bala, hanya membawa kepada kerosakan melata. Kita seharusnya berusaha menjunjung sistem kita supaya dapat menyelamatkan bumi Allah ini, supaya alam seluruhnya aman dibawah pemerintahan islam dan juga supaya misi syahadatain kita selesai.

Rakan-rakan seperjuanganku,
Selepas kita mendalami serta memahami al-Quran, kita seharusnya menyedari bahawa alam al-wujud ini jauh lebih besar dari saiz fiziknya yang dapat dilihat kini. Ini kerana alam al-wujud ini terdiri dari dua alam ; alam ghaib dan alam syahadah. Alam al-wujud juga merupakan alam akhirat dan alam dunia. Nah! Terbukti alam al-wujud ini jauh lebih besar dari hakikat saiz. Jika kita islam kita bukan keseorangan malah kita bersama-sama dengan alam ciptaan Allah ini.

Rakan-rakanku yang disayangi Allah,
Mahukah lagi rakan-rakan ingin memilih sistem sekular yang mencengkam kita selama ini, sistem barat yang merosakkan atau apa-apa sistem selain islam? Maha Suci Allah telah menyediakan manhaj atau sistem yang syumul pada kita. Adakah kita ingin tergolong dalam golongan mereka yang menolak kebenaran? Adakah kita ingin tergolong dalam golongan mereka yang menempiaskan kesucian islam? Tidak dan sesungguhnya tidak. InsyaAllah, kita adalah golongan yang membantu agama Allah ini. Kita adalah generasi rabbani yakni generasi terbaik ( 3:110 ) yang telah diciptakan Allah dengan sebaik-baik kejadian ( 95:4 ) dan mereka ini diuji Allah untuk memastikan siapa yang lebih baik amalnya ( ahsanul `amala ) ( 67:2 ) maka mereka ini bila berbicara hanya memilih bicara terbaik yakni menyeru kepada Allah dan menegerjakan kebajikan; dakwah ( 41:33 ).

Akhir kata, di sisa-sisa usia yang ada ini, marilah sama-sama kita memahami kembali manual yang diberikan kepada kita serta beramal dengannya supaya sisa usia yang tinggal ini akan lebih berkat dan diredhai Allah. Ameen. Jadikanlah al-Quran itu teman akrab kita untuk melahirkan mahasiswa bestari yang berakhlak terpuji. InsyaAllah.

Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman) dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka orang-orang yang fasik. [al-imran :110]

2 thoughts on “MANUAL oh MANUAL!!

  1. Pingback: Sabda Kelam Part 1 « Selamat Datang di Sabda Kelam

Mari berinteraksi di sini. Setiap patah kata dihargai.

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s