Israk Mikraj

Rejab kian melabuhkan tirainya, bermakna Umat Islam kian menghampiri bulan penuh rahmat,khas untuk Umat Muhammad SAW yakni bulan ramadhan. Di penghujung bulan Rejab ini, telah berlaku suatu peristiwa yang amat bermakna bagi seluruh umat iaitu peristiwa Israk Mikraj yang menakjubkan, yang berlaku pada malam 27 Rejab, tahun ke 11 daripada kerasulan Nabi Muhammad SAW.

Israk dan Mikraj adalah dua peristiwa yang amat besar dan luar biasa yang dialami Rasulullah SAW dan dianggap sebagai suatu penganugerahan yang tinggi nilainya dari segi kerohanian. Kedua-dua peristiwa itu adalah kurnia Allah SWT kepada Baginda untuk memperlihatkan tanda keagungan dan kekuasaanNYA.

Sungguhpun peristiwa luar biasa yang terjadi sebelum Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah itu mustahil dapat dijangkau oleh akal fikiran manusia, namun kita sebagai Umat Islam wajib percaya dan meyakini bahawa Israk Mikraj yang ditempuhi serta dialami oleh Rasulullah SAW adalah benar dan berlaku dengan roh dan jasadnya sekali. Segala-galanya boleh berlaku dengan kehendak dan kekuasaan Allah Taala selaku pencipta dan pentadbir alam semesta.

Israk bererti perjalanan Rasulullah SAW dari Masjidilharam di Mekah ke MAsjidil Aqsa di Baitul Maqdis di Palestin. Peristiwa ini terakam di Al-Quran, sepertimana firman Allah Taala

Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hambaNYA (Muhammad) pada malam hari dari Masjidilharam ke Masjidil Aqsa yang telah Kami berkahi sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar, Maha Melihat.

(Al Isra, 17:1)

Sementara itu, Mikraj pula merujuk kepada perjalanan Baginda SAW dari Masjidil Aqsa ke Sidratulmuntaha di langit ketujuh, dekat singgahsana Allah Taala sepertimana yang digambarkan didalam Al-Quran yang bermaksud,

Dan sungguh, dia (Muhammad) telah melihatnya (dalam rupanya yang asli) pada waktu yang lain. Yaitu di Sidratulmuntaha, didekatnya ada syurga tempat tinggal, (Muhammad melihat jibril) ketika sidratulmuntaha diliputi oleh sesuatu yang meliputinya, penglihatannya (Muhammad) tidak menyimpang dari yang dilihatnya itu dan tidak pula melampauinya. Sungguh, dia telah melihat sebahagian tanda-tanda kebesaran Tuhannya yang paling besar.

(An-Najm, 53:13-18 )

Di bawah ini disertakan artikel yang dipetik melalui laman web Ini Jalan Ku oleh Ustaz Abdul Halim. Semoga perkongsian ini membawa manfaat dan pengajaran untuk kita semua.

Setelah kewafatan Khadijah ra, pendokong moral dan material perjuangan Baginda saw dan kewafatan Abu Talib, pelindung Baginda saw dari ancaman fizikal oleh kafir Quraisy pada Tahun Kesedihan, Dakwah Islam berada diposisi paling tenat disegi saikologi Nabi saw dan para Sahabat ra sendiri, maupun disegi tiadanya kemasukan baru ke dalam agama Islam dari kalangan penduduk Mekah. Dengan azam tidak menyerah kepada keadaan, Baginda saw mencuba nasib, mencari peluang baru untuk Dakwah ini di Taif, 80 km dari Mekah, namun harapan dan sangkaan Baginda saw meleset. Di Taif, Dakwah tidak diterima, Pendakwah dihina dengan dibaling batu oleh penduduknya. Pintu Dakwah ditahun ini hampir tertutup. Namun Allah swt melalui Surah Huud, mengarahkan Nabi saw terus beristiqamah menjalankan amal Dakwah ini meredah fasa-fasa gelap yang sedang menyelubunginya, tanpa isteri yang mendorong dan tanpa bapa saudara yang melindung. “Shayyabatni Huud” (Surah Huud telah mengubankan rambutku !!).

MasyaAllah !! Setelah 9 bulan perjalanan, Amerika menjejakkan alatnya di planet Marikh pada 25.6.2008 lalu dan hari ini menunjukkan fotonya kepada umat manusia di bumi. Tanah Marikh diambil dan dianalisa. Foto ini boleh tiba ke bumi dengan pantasnya, melalui perantaraan apa? Orang kafir sibuk meneroka alam baru sedang umat Islam pula sibuk melayan tuntutan Kuasa-kuasa Besar Dunia dan bercakaran sesama sendiri.

Allah swt tidak membiarkan Rasul Akhir Zaman berpanjangan dalam kemuraman seperti itu. Dakwah ini harus dipacu hingga berjaya bukan sahaja di Mekah, tetapi ke seluruh dunia, merangkumi sekelian jin dan manusia. Pada malam 27 Rejab ~620M, Jibril mengejutkan Rasulullah saw dari lamunan malam dan mengisyaratkan kepada Baginda saw bahawa kenderaan Buraq telah siap di luar sana untuk membawanya ke Masjidil Aqsa di Palestin, naik meredah 7 petala langit, ke Sidradul Muntaha melalui Baitul Makmur, memenuhi undangan Allah swt. Di Masjidil Aqsa Baginda bersolat mengimami kesemua para rasul, melihat bandar Baitul Maqdis, memilih susu dan menolak arak. Di langit, Baginda bertemu sebahagian para rasul, diperlihatkan gelagat penghuni-penghuni Syurga dan Neraka serta tanda-tanda kebesaran Allah swt yang lain. Di Sidratul Muntaha, Baginda diwahyukan Allah swt apa yang hendak diwahyukan olehNya, termasuk kewajipan Solat, ibadah yang paling utama.

Tidak seperti roket yang hanya dipakai buang sekali sahaja disetiap pelancaran dan operasi, “space shuttle” berjaya dicipta Amerika bertindak seperti teksi antara langit dan bumi, boleh diguna berulangkali. Setakat ini 4 buah space shuttle iaitu Columbia (dilancarkan pada 12.4.1981, tepat 20 tahun selepas Yuri Gagarin, manusia pertama ke angkasalepas), Challenger, Endeavour dan Atlantis telah dihasilkan. Tiap satu memakan belanja setahun budget seluruh negara sedang membangun di dunia.

Sekembalinya Nabi saw ke Mekah dari langit, kekuatan Baginda saw untuk berdakwah lebih kental. Segelintir orang Islam murtad kerana tidak dapat menerima hakikat boleh berlakunya peristiwa Muhammad saw pergi ke Palestin dan langit serta kembali semula dalam malam yang sama. Para Sahabat ra yang lain bertambah keyakinan dan kekaguman mereka kepada Nabi tercinta. Bagi Nabi saw pula, melihat sendiri kesudahan manusia di Syurga dan Neraka sudah cukup memberi motivasi penuh untuk menyelamatkan mereka didunia lagi, sebelum mereka menempuh alam Pengadilan dan Pembalasan, belum lagi berpeluang menerima wahyu langsung dari Allah swt di Sidratul Muntaha. Tiga tahun selepas itu, keimanan baru, lebih tinggi dan teruji inilah yang menjadi asas kepada Hijrah dan penegakkan Negara Islam di Madinah.

Ini foto bersejarah kerana kali pertama foto bumi diambil dari angkasalepas (pada ketinggian 300 kilometer). Foto ini diambil oleh Yuri Gagarin, angkasawan Rusia dan manusia ketiga ke angkasalepas pada 12.4.1961, selepas Nabi Isa as (selepas percubaan membunuhnya) dan Rasulullah saw (dalam peristiwa Israk Mikraj).

Dari sinopsis ringkas peristiwa Israk Mikraj, dapat disimpulkan sebahagian pengajaran berguna untuk umat selepasnya dan kita seperti berikut :

  1. Kehebatan dokongan isteri, kerukunan rumahtangga adalah salah satu asas kejayaan dalam diri Pendakwah dan Dakwah itu sendiri.
  2. Perlindungan seperti yang diberi oleh sesiapa contohnya Abu Talib, biar pun dia bukan seorang Islam, adalah penting dalam memastikan Islam berkembang tanpa gangguan terutamanya di fasa awalnya.
  3. Kepentingan Masjidil Aqsa dan Palestin di dalam perjuangan Uslam dan umat.
  4. Dengan Nabi saw menjadi imam semua para Rasul yang lain di Masjidil Aqsa, hari ini dan selepas ini, umat Islam mestilah menjadi imam (pemimpin dan pembimbing) kepada umat-umat yang lain, dan bukan sebaliknya seperti yang berlaku hari ini. Umat Islam mesti bekerja ke arah itu.
  5. Solat adalah ibadah terpenting dalam Islam. Di Hari Kiamat, tidak dinilai amalan-amalan lain jika solatnya dinilai sebagai gagal.
  6. Iman pendokong-pendokong perjuangan Islam, termasuk para Sahabat ra akan terus menerus melalui proses penapisan, untuk membeza dan mengasingkan permata dari kaca.
  7. Negara Islam tertegak bila ada jemaah manusia yang bersedia memikul tanggungjawab tersebut dengan keimanan yang telah teruji seperti para Sahabat ra.
  8. Umat Islam dituntut melihat cakerawala dan kehebatan penciptaannya, bukan terhad atau terkongkong kepada apa yang ada di bumi sahaja.

Masjid Kubah Batu (Pelancaran), di tengah-tengah Masjidil Aqsa, Palestin. Di sini tempat pelancaran kenderaan Buraq membawa Rasulullah saw ke Sidratul Muntaha, menembusi 7 petala langit dan Baitul Makmur. Hari ini ia ditawan oleh Yahudi yang dilaknat Allah swt. Pembebasannya sebelum Hari Kiamat dijamin Allah swt. Bila ? Siapa pembebasnya ? Apa ciri-ciri mereka ? Bagaimana mereka dididik (dihasilkan) ?

Allah Taala tidak pernah menjadikan sesuatu dengan sia-sia, setiap apa yang terjadi pasti ada hikmah dan pengajaran disebaliknya. Beruntunglah mereka yang berfikir tentang kekuasaan Allah Taala. Ayuh sahabatku, sempena peristiwa penuh pengajaran ini,kita anjak paradigma diri, jadilah umat Islam yang sentiasa peka dan sensitif tentang derita umat Islam yang sedang tenat dan sakit dek pemikiran yang terlalu banyak disogok dengan permainan dunia yang sia-sia ciptaan kuasa-kuasa besar dunia yang sentiasa mahu melihat Islam itu berada di keadaan paling gering. Astaghfirullah, beri maaf MU pada kami Ya Allah, kelalaian hinggap penuh memamah diri, kami mohon hidayah dan petunjukMU, agar kami tergolong dalam golongan yang menegakkan kalimahMU di muka bumi ini.

Damir, Allen dan Radovan Karadzic

Damir. Lelaki Bosnia muslim pertama yang sempat penulis kenali. Rambut Damir kuning emas, matanya biru. Sukar penulis nak mengingati bahasa apa yang kami pakai untuk berkomunikasi pada masa itu, tetapi Damir adalah salah seorang rakan sepermainan, rakan sekelas dan rakan bergelak ketawa penulis. Sepanjang bersekolah, beratus pelajar Bosnia yang sebaya kami waktu itu (1993) ditempatkan di sekolah berasingan di sekitar Selangor. Penulis juga mengenali Allen yang penulis ingat lagi sorot matanya penuh kebencian dan permusuhan. Tafsiran penulis nyata benar apabila dia ditangkap kerana mencetuskan pergaduhan di sekolah. Namun penulis difahamkan Allen adalah warga Serbia,

Serbia-Bosnia. Apa yang berlaku sebenarnya pada masa itu? Apakah yang membuatkan Allen begitu membenci kami?

Penulis tahu ada sesuatu… dan ia melibatkan perang pada waktu itu. Hari ini, apabila membaca berita Radovan Karadzic ditangkap, penulis mencari tentangnya dan artikel di sini (sila klik untuk membaca) membantu penulis untuk memahami landskap penuh tentang apa yang berlaku dan kenapa ada pelajar Bosnia-Serbia ditempatkan bersama kami pada waktu itu.

Ustaz Abdul Halim ada menyebut dalam artikel tersebut,

“Semasa 5 tahun Perang Dunia Kedua (1941-45), tentera Jerman pimpinan Hitler cuba menawan gunung tersebut tetapi gagal, sedang Mujahideen seramai 500 orang berjaya menawannya dalam masa 4 minit sahaja ! “

“Hanya dengan 500 orang Mujahideen, seramai 30,000 tentera Serbia boleh dikalahkan. Apatah lagi nanti jika kesemua umat Islam berjumlah 1.5 billion bersatu dan berkualiti tinggi. “

Beberapa hari lalu, penulis ada terlintas sekali lagi ayat ini di dalam Al-Quran,

“Wahai Nabi Muhammad! Kobarkanlah semangat para mukmin untuk berperang. Jika ada dua puluh orang yang sabar di antara kamu, nescaya mereka dapat mengalahkan dua ratus musuh. Dan jika ada seratus orang yang sabar antara kamu, nescaya mereka dapat mengalahkan seribu orang kafir, kerana orang-orang kafir itu adalah kaum yang tidak mengerti.” [QS 8:65]

Dan penulis baca lagi ayat seterusnya,

“Sekarang Allah telah meringankan kamu kerana Dia mengetahui bahawa ada kelemahan padamu. Maka jika di antara kamu ada seratus orang yang sabar, nescaya dia dapat mengalahkan dua ratus orang, dan jika di antara kamu ada seribu orang orang yang sabar, nescaya mereka dapat mengalahkan dua ribu orang dengan izin Allah. Allah beserta orang yang sabar” [QS 8:66]

Rupanya Allah SWT mengajarkan ilmu hisab.

Apa yang membezakan nisbah 1:2 dengan 1:10 adalah rahsia SEMANGAT, KESABARAN, KEIMANAN, KETAQWAAN. Dan semakin kita semangat, sabar, beriman, bertaqwa, semakin tinggilah nisbah kejayaan itu! Allah SWT tidak memberikan kita kejayaan melainkan pada nilai kualiti yang tinggi pada usaha kita kerjakan itu.

Ingatlah bahawa jalan yang kita pilih ini panjang dan memerlukan kesabaran. Apakah nanti bertambah kuat segala semangat, kesabaran, keimanan dan ketaqwaan itu atau sebaliknya.

Perang Bosnia hanyalah satu dari catatan sejarah hitam buat umat Islam. Dan sejarah PASTI akan berulang. Maka, persiapkanlah dan islahkan diri kita mulai sekarang wahai sahabatku. Musuh Islam takkan begitu mudah untuk berdiam diri.

*islah:perbaiki

Selamat menghadapi Imtihan

Assalamualaikum everyone..

Sedaya upaya diri tidak mahu menjamu mata sahabat semua dengan coretan yang sia-sia dikala kalian semua sedang sibuk menelaah untuk “final exam” saat ini. Sekadar mahu berkongsi sedikit cerita, analogi juga nasihat. Dengan harapan besar agar muhasabah sempat singgah disaat kesibukan duniawi memenuhi waktu.

Pertamanya, kerana perkataan ini sangat popular di saat-saat genting sebegini,saya mahu bercerita soal “TAWAKKAL”.

Allah Taala berfirman:

“Kemudian apabila engkau telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah, sungguh Allah mencintai orang yang bertawakkal.

(Ali Imran,3:159)

Ramai sekali antara kita yang tersalah faham dalam melaksanakan ketawakkalan kepada Allah Taala. Ada yang berpendapat, tawakkal ialah menyerah bulat-bulat kepada Tuhan tanpa berusaha untuk melaksanakan sesuatu. Ringkasnya enggan berikhtiar atau menyinsingkan lengan baju. Anehnya pandai pula dirinya berdoa meminta yang enak-enak sahaja.

Manusia semacam ini boleh kita analogikan seperti:

Manusia yang dihadapannya terdapat banyak makanan terhidang, tetapi ia berpendapat, jika tuhan mengkehendaki ia kenyang , tanpa makan sekalipun ia akan tetap kenyang.

Andaikata cara berfikir sebegini diteruskan, sudah pastinya bukan kejayaan yang dimiliki, bahkan kemudaratanlah yang akan menimpa diri.

Erti sebenar TAWAKKAL itu dalam Islam ialah, ” Menyerahkan diri kepada Allah Taala sesudah berdaya upaya dan berusaha serta bekerja sebagaimana mestinya”.

Contohnya:

Seseorang telah mengunci basikalnya, dan bertawakkal kepada Allah Taala agar basikalnya itu tidak hilang dicuri. Namun, sekiranya basikalnya itu hilang juga, maka didalam pandangan Islam orang itu tidak bersalah kerana telah berikhtiar sebagaimana semestinya agar basikal itu tidak hilang.

Andaikata kita telah meletakkan tawakkal itu pada erti sebenarnya, inshaAllah rezeki Allah Taala itu akan hadir dalam setiap perkara yang kita lakukan , kerana Allah Taala telah menjamin bahwa kita akan dikurniakan dengan bahagian rezeki kita masing-masing sebagaimana halnya burung yang keluar di pagi hari dalam keadaan perut kosong dan akhirnya kembali di waktu senja dalam keadaan kenyang.

Seterusnya saya mahu mengajak sahabat berfikir tentang syariatullah dan sunnatullah dalam menghadapai “final exam” kali ini.

Ini adalah cerita mengenai Ahmad dan Kimutaku :

Ahmad dan Kimutaku kedua-duanya bekerja sebagai penanam sayur. Setiap pagi, Kimutaku akan bangun di awal pagi, bersiap-siap untuk menyiram dan membaja tanamannya. Ahmad juga bangun di awal pagi, namun tidak pernah menjenguk tanamannya. Ahmad hanya sibuk melakukan solat sunat di rumah, bermohon pada Allah agar tanamannya tumbuh banyak dan subur. Natijahnya, tanaman Kimutaku mengeluarkan hasil yang banyak manakala tanaman Ahamd tidak menjadi.

Kesimpulan yang boleh dibuat melalui cerita diatas adalah, mengapa tanaman Kimutaku lebih menjadi berbanding Ahmad? Sedangkan Ahmad itu muslim dan Kimutaku itu bukan muslim? Persoalannya disini bukanlah pada agama anutan mereka. Tapi pada sunnatullah, jelas sekali Allah Taala telah menetapkan tanaman-tanaman hanya akan tumbuh subur bila kita berusaha menjaganya mengikut sunnatullah, iaitu ketetapan Allah Taala. “Man Jadda wa Jadda”, “Siapa berusaha dia akan dapat hasilnya”. Andai kata Ahmad menyeimbangkan ibadah dan usahanya, sudah tentu hasil yang diperolehinya jauh lebih banyak dan diberkati berbanding Kimutaku. Begitu jugalah keadaannya bagi kita yang bakal menghadapi imtihan ini.

Ayuh mari kita menjadi muslim yang seimbang dalam soal syariatullah juga sunnatullah!

Terakhirnya, saya mahu mengajak sahabat berfikir tentang pergantungan pada Allah Taala

Gazwah Hunain adalah antara salah satu gazwah yang Rasulullah S.A.W sendiri turut serta berperang dan jumlah tentera Islam lebih ramai dari pihak lawan. Gazwah ini menjadi pengajaran bagi umat Islam kerana, tentera Islam hampir kalah hanya kerana disebabkan pergantungan mereka terhadap bilangan tentera yang ramai dan telah leka terhadap pergantungan kepada Allah.

Allah Taala berfirman:

Sungguh. Allah telah menolong kamu (mukminin) di banyak medan perang, dan ingatlah perang Hunain, ketika jumlahmu yang besar itu membanggakan kamu, tetapi (jumlah yang banyak itu) sama sekali tidak berguna bagimu, dan bumi yang luas itu terasa sempit bagimu, kemudian kamu berbalik ke belakang dan lari tunggang langgang.

(At- Taubah,9:25)

Begitulah juga halnya kita dalam menghadapi “perang” di dewan peperiksaan ini. Kadang-kadang kita terlalai, merasa usaha kita yang banyak itu akan menyebabkan kita lulus dengan jayanya dalam peperiksaaan. Atau lebih tepat, merasakan pergantungan lebih kepada usaha diri sendiri atau pergantungan pada sensei yang memberi lulus/ tannii, sehingga lupa pada pergantungan terhadap Allah S.W.T. Mari muhasabah diri sahabatku, pergantungan kita selayaknya hanya pada Allah S.W.T. Kejayaan itu milik Dia, dan Dia berhak memberikannya kepada sesiapa yang dikehendakinya. Berusahalah kerana Allah S.W.T, dalam masa yang sama yakinlah Allah S.W.T akan menolong hambaNya yang benar-benar ikhlas dalam berusaha.

Akhir kata, selamilah erti TAWAKKAL itu, letakkannya di garis yang betul, Kemudian seimbangkan antara syariatullah dan sunnatullah dan akhir sekali, ingatlah bahawa hanya Allah S.W.T tempat pergantungan kita.

Kami dari team blog INI CERITA KITA mendoakan yang terbaik untuk sahabat semua. “Maa Taufiq Wannajah fil imtihan”

Dan bertakwalah kepada Allah, Allah memberikan pengajaran kepadamu, dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.

(Al- Baqarah,2:282)

Amalkan doa ini ketika menghadapi kesukaran dalam peperiksaan:

اَللَّهُمَّ لاَ سَهْلَ إِلاَّ مَا جَعَلْتَهُ سَهْلاً وَأَنْتَ تَجْعَلُ الْحَزَنَ الصَّعْبَ إِنْ شِئْتَ سَهْل

Maksudnya: “Ya Allah! Tidak ada kesenangan melainkan pada perkara yang engkau jadikan  kesenangan padanya. Dan engkau menjadikan kedukacitaan dan kesukaran sebagai mudah dan senang jika Engkau kehendaki.”

imtihan = peperiksaan
ghazwah = perang
tanii = kredit

Percaya Sebelum Melihat

mickeySiapa yang tidak mengenali Walt Disney? Pereka karakter Mickey Mouse dan pembina istana khayalan terbesar di dunia, Disneyland. Kisah hidupnyanya telah ditulis dalam bukunya Rhenald Kasali. Diceritakan pada bab “Seeing is Believing” setelah Walt Disney meninggal, ada ungkapan sahabatnya kepada isteri Walt Disney: “Sayang sekali, Walt Disney tak sempat melihat apa yang dibangunnya”. Tapi kata isteri Walt Disney, “pendapat itu salah”. Jauh sebelum istana dan hasilnya karyanya selesai, Walt Disney telah melihatnya sendiri di alam idea, di alam gagasannya di dalam kepalanya.

Pada tahun 1950, Walt mempunyai impian untuk membangun taman impian bagi anak-anak. Impian Walt ini dianggap gila oleh rakan-rakan sesama pengusaha, namun Walt tetap dengan pendiriannya. Taman bermain ini akhirnya diwujudkan pada tahun 1955 di Anaheim, California. Pada waktu pembukaan, Walt mengatakan dalam ucapannya “KEJAYAAN DIMULAI KETIKA KITA MULAI MENCIPTAKAN IMPIAN JAUH KEDEPAN. DAN SAAT KITA KOMITMEN UNTUK MENCAPAI IMPIAN ITU, MAKA SELANJUTNYA IMPIAN ITU YANG AKAN MENJADI MAGNET DAN MENARIK KITA KESANA…”. Walt Disney meninggal pada tahun 1966. Namun visi dan impiannya untuk kebahagiaan anak-anak akan terus dikenang dan dinikmati oleh dunia sepanjang masa.

Kata-kata itu menunjukkan betapa keyakinan seseorang itu terhadap kejayaan membuatkan mimpinya menjadi nyata. Sekalipun dia tidak sempat melihatnya sendiri.

Ingatkah kita pada kisah luar biasa Perang Ahzab? Pada saat begitu mencekam lantaran rasa lapar dan dingin yang menusuk hingga ke sumsum tulang. Persoalannya ditambah lagi dengan pengepungan orang-orang kafir. Namun rasa suka dan gembira tetap terpancar di wajah Rasulullah SAW dan para sahabatnya. Terpancar dari raut wajah mereka perasaan optimis yang besar untuk menyambut kemenangan.

Ketika baginda bersama para sahabat menggali parit, terdapat bongkahan batu yang keras sehingga mereka menyerahkannya pada Rasulullah SAW. Baginda pun memecahkan batu tersebut dengan pukulan. Pukulan Rasulullah SAW itu memercikkan api. Waktu itu baginda mengucapkan Subhanallah. Kejadian itupun berulang lagi hingga tiga kali. Hal ini menakjubkan para sahabat.

Kemudian Rasulullah SAW menceritakan bahawa tatkala muncul percikan api, terpancar gambaran istana Persia disusul dengan istana Romawi dan selanjutnya istana Mauqaqis. Baginda mengatakan sebentar lagi istana Persia menjadi milik kita, istana Romawi akan kita taklukan dan istana Mauqaqis akan kita miliki. Pernyataan tersebut disambut dengan ucapan gembira dari para sahabat, Allahu akbar wa lillahilhamd.

Peristiwa ini menjadi pelajaran berharga bagi kita semua, betapa Rasulullah SAW telah mendidik para sahabatnya untuk berjiwa besar. Dengan jiwa besar, mereka mampu membangun keyakinan meski dalam keadaan lapar, dingin, terkepung dan mencekam. Inilah thumuhat dakwah dan tarbawiyah (obsesi dakwah dan tarbiyah). Obsesi yang luar biasa. Tidak pernah terbayangkan oleh pemikiran ramai orang ketika itu. Keadaan yang mencekam, lapar dan dingin yang menusuk. Namun keyakinan akan memperoleh kemenangan selalu bersama mereka. Kemenangan yang akan datang segera atau kemudian.

Akhirnya Islam tetap menang dalam Perang Ahzab. 3000 tentera Islam melawan 10000 tentera kafir!

Setelah kita menelusuri ISK, sehingga ke peringkat manakah keyakinan dan keimanan kita bahawa Islam pasti akan menguasai dunia kembali? Rasulullah SAW sendiri tidak sempat melihat Islam berada di puncaknya satu ketika dahulu. Namun baginda SAW tetap yakin bahawa Islam akan tetap bangkit kembali.

فلن تجد لسنة الله تبديلا

“Maka engkau tidak akan sekali-kali mendapati sunnah Allah itu berubah-ubah” [Surah Al Fatir (Yang Menciptakan), 35:43]

Katakan saja kita tak meyakini Syurga Allah. Kerana andai kita mengimaninya, pasti kita bekerja sehabis-habisnya untuk memperoleh kemanisannya.

Ayuh sahabat!

Percaya sebelum melihat. Bekerja keras untuk melihat apa yang dipercaya!

Program IPK (Ini Peranan Kita)

Assalamualaikum wbt…

InsyaAllah akan diadakan program IPK (Ini Peranan Kita) bagi kawasan nishi nihon pada 13,14 dan 15 Ogos 2008 bertempatkan di Oita. Program ni merupakan sambungan kepada ISK (Ini Sejarah Kita) yang telah diadakan di Yamaguchi pada Jun yang lalu.So bagi yang dah dapat ISK tu apa lagi! meh lah pergi program IPK pulak!

Tapi bagi yang tidak berpeluang untuk turut serta ISK pada hari itu juga turut dialu-alukan untuk turut serta program IPK kali ini.Jom pakat ramai-ramai dengan kawan-kawan semua untuk datang program IPK ni.

Untuk yang ingin menyertai program ini ataupun inginkan maklumat lanjut bolehlah berhubung dengan nombor yang tertera dibawah:

  • 080-3872-4285(bagi ikhwah)
  • 090-9464-0121(bagi akhawat)

Maklumat lanjut berkenaan tempat program boleh dirujuk di link di bawah:

http://www.city.oita.oita.jp/ja/index.html

Mahu mendaftar dan mengetahui maklumat lanjut? klik di bawah ni..

http://www.amir-nn.net46.net/index.php?option=com_registration&task=register

JOM!!! 🙂