Insan bernama Muhammad

Di balik kehidupan insan bernama Muhammad….

Kalau ada pakaian yang koyak,Rasulullah SAW menampalnya sendiri tanpa perlu menyuruh isterinya. Beliau juga memerah susu kambing untuk keperluan keluarga maupun untuk dijual.

Setiap kali pulang ke rumah, apabila dilihat tiada makanan yang sudah siap dimasak untuk dimakan, sambil tersenyum baginda menyingsing lengan bajunya untuk membantu isterinya di dapur.

Sayidatina Aisyah menceritakan:

“Kalau Nabi berada di rumah, beliau selalu membantu urusan rumah tangga. Jika mendengar azan, beliau cepat-cepat berangkat ke masjid, Dan cepat-cepat kembali sesudah selesai sembahyang.”

Pernah baginda pulang pada waktu pagi. Tentulah baginda amat lapar pada waktu itu. Tetapi dilihatnya tiada apapun yang ada untuk sarapan. Yang mentah pun tidak ada kerana Sayidatina Aisyah belum ke pasar. Maka Nabi pun bertanya,“Belum ada sarapan ya Humaira? (Humaira adalah panggilan mesra untuk Sayidatina Aisyah yang bererti Wahai yang kemerah-merahan. Aisyah menjawab dengan agak serba salah,” Belum ada apa-apa wahai Rasulullah.” Rasulullah lantas berkata, “Kalau begitu aku puasa saja hari ini.” Tanpa sedikit tergambar rasa kesal di wajahnya.

Pernah baginda bersabda: “Sebaik-baik lelaki adalah yang paling baik dan lemah lembut terhadap isterinya. ”

Prihatin, sabar, dan tawadu’nya baginda sebagai ketua keluarga.

Pada suatu ketika baginda menjadi imam solat. Dilihat oleh para sahabat, pergerakan baginda antara satu rukun ke satu rukun yang lain amat sukar sekali. Dan mereka mendengar bunyi menggerutup seolah-olah sendi pada tubuh baginda yang mulia itu bergeser antara satu sama lain.

Sayidina Umar r.a yang tidak tahan melihat keadaan baginda itu langsung bertanya setelah selesai sembahyang, “Ya Rasulullah, kami melihat seolah-olah tuan menanggung penderitaan yang amat berat, tuan sakitkah ya Rasulullah?”“Tidak ya umar. Alhamdulillah, aku sihat dan segar.” . “Ya Rasulullah.. . mengapa setiap kali tuan menggerakkan tubuh, kami mendengar seolah-olah sendi bergesekkan di tubuh tuan? Kami yakin engkau sakit…” desak Umar penuh cemas.

Akhirnya Rasulullah mengangkat jubahnya. Para sahabat amat terkejut. Perut baginda yang kempis, kelihatan dililiti sehelai kain yang berisi batu kerikil, buat menahan rasa lapar. Batu-batu kecil itulah yang menimbulkan bunyi-bunyi halus setiap kali bergeraknya tubuh baginda.

Ya Rasulullah! Adakah bila tuan menyatakan lapar dan tidak punya makanan, kami tidak akan mendapatkannya buat tuan?”
Lalu baginda menjawab dengan lemah lembut,” Tidak para sahabatku. Aku tahu apapun akan engkau korbankan demi Rasulmu. Tetapi apakah akan aku jawab di hadapan Allah nanti, apabila aku sebagai pemimpin, menjadi beban kepada umatnya? Biarlah kelaparan ini sebagai hadiah ALLAH buatku, agar umatku kelak tidak ada yang kelaparan di dunia ini lebih-lebih lagi tiada yang kelaparan di akhirat kelak.”

Baginda pernah tanpa rasa canggung sedikitpun makan di sebelah orang tua yang penuh kudis, miskin, dan kotor. Hanya diam dan bersabar bila kain ridanya direntap dengan kasar oleh seorang Arab Badwi hingga berbekas merah di lehernya. Dan dengan penuh rasa kehambaan baginda membasuh tempat yang dikencing si Badwi di dalam masjid sebelum menegur dengan lembut perbuatan itu. Kecintaannya yang tinggi terhadap ALLAH S.W.T dan rasa kehambaan dalam diri Rasulullah s.a.w menolak sama sekali rasa ketuanan. Seolah-olah anugerah kemuliaan dari ALLAH tidak dijadikan sebab untuk merasa lebih dari yang lain, ketika di depan umum maupun dalam keseorangan.

Ketika pintu syurga telah terbuka seluas-luasnya untuk baginda, baginda masih berdiri di waktu-waktu sepi malam hari, terus-menerus beribadah, hingga pernah baginda terjatuh, lantaran kakinya sudah bengkak-bengkak. Keadaan fizikalnya sudah tidak mampu menanggung kemahuan jiwanya yang tinggi.
Bila ditanya oleh Sayidatina Aisyah,“Ya Rasulullah, bukankah engkau telah dijamin syurga?Mengapa engkau masih besusah payah begini?”
Jawab baginda dengan lunak,“Ya Aisyah, bukankah aku ini hanyalah seorang hamba?Sesungguhnya aku ingin menjadi hamba- Nya yang bersyukur.”

Rasulullah SAW bersabda:” Sampaikan pesanku walau sepotong ayat.”

Untuk renungan para pembaca:

Akhlak mulia Rasulullah SAW turut dikagumi oleh para pemikir dan sarjana Barat seperti Arthur Glyn Leonard. Sarjana barat ini menyatakan, “Untuk mengerti Muhammad atau jiwa Islam dengan sempurna, orang harus tahu lebih dahulu bahawa Muhammad bukan hanya pengembara biasa yang menghabiskan umur melainkan satu daripada orang yang paling setia, jujur dan sungguh-sungguh dari setiap masa dan zaman.” Manakala A.C. Bonquet di dalam Comparative Religion menyatakan bahawa, “Muhammad berhasil memajukan umatnya dan mengembangkan ke seluruh wilayah Timur Tengah idaman siasah dan sosial yang lebih luas, lebih segar dan lebih matang daripada Byzantine. Ia menjauhi kemewahan, ia hidup dengan prinsip hemat dan menjauhi ketamakan. Ia terkenal kerana tindakan-tindakannya yang sederhana. Ia melakukan tugas kemanusiaan dengan tangannya sendiri.”

Rasulullah SAW mendidik dengan sikap dan akhlak kerana apa yang baginda cakapkan , baginda laksanakan. Seluruh kandungan al-Quran itu ada pada diri baginda zahir dan batin. Sehingga isterinya Siti Aisyah Ummul Mukminin r.a. mengatakan Rasulullah adalah al-Quran yang berjalan.

Firman Allah SWT : “Wahai orang-orang yang beriman, mengapa kamu mengatakan sesuatu yang kamu tidak berbuat. Amat besar kebencian di sisi Allah bila kamu mengatakan apa yang tidak kamu lakukan.” (As-Saff:2-3)

Allah SWT sangat benci kepada seseorang yang pandai bercakap tetapi tidak melakukan perkara yang dicakapkan kerana sikap itu mempersia-siakan ilmu yang diperolehi. Rasulullah SAW membuktikan tentang praktikalnya Al-Quran sekali gus memberi contoh berkenaan cara hidup Islam yang diperintahkan oleh Allah SWT. Sikap dan akhlak baginda itu dicontohi dan diikuti oleh para sahabat. Para sahabat berlumba-lumba mencontohi Rasulullah dalam apa jua perkara yang baginda lakukan. Bahkan mereka sanggup mati demi mempertahankan dan melindungi Rasulullah SAW. Setiap hukum-hakam Allah SWT yang disampaikan kepada mereka bukan sahaja mereka dengar dan patuh, bahkan mereka sanggup memperjuangkan dengan rela hati sebagai cita-cita hidup mereka. Itulah hasil didikan melalui sikap dan akhlak kerana ia mampu membeli hati-hati manusia dan menyatukan hati-hati itu dalam satu barisan yang teratur kukuh.

Firman Allah SWT: “ Jika kamu belanjakan seluruh kekayaan seisi bumi untuk menjinakkan hati manusia, nescaya kamu tidak dapat melakukannya. Tapi Allahlah yang menjinakkannya.” (Al-Anfal:63)

One thought on “Insan bernama Muhammad

Mari berinteraksi di sini. Setiap patah kata dihargai.

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s