Aku Hanyalah Seorang Hamba

Aku melihat wajahku di cermin sekali lagi sambil membetulkan hijabku. Hari ini menjadi sejarah penting dalam hidupku. Hari ini aku berhijab bukan untuk menghadiri majlis kenduri arwah atau majlis bacaan yasin tetapi hari ini, selayaknya sebagai hamba yang lemah aku mentaati perintahNya.

Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman, agar mereka menjaga pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah menampakkan perhiasannya(auratnya), kecuali yang (biasa) terlihat. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kerudung ke dadanya,; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka atau saudara-saudara mereka atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam atau hamba-hamba mereka atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya. (An-Nur:31)

Bahtera yang sekian lama kulayari untuk sebuah misi mencari kebenaran jua ketenangan, akhirnya bisaku labuhkan sauhnya. Kegelapan pekat yang menghantui diri ini akhirnya ditembusi sinar keimanan dan ketaqwaan. Betapa selama ini, aku hidup dalam sia-sia tanpa tujuan dan matlamat yang pasti. Aku sibuk sekali mengejar kemewahan duniawi. Rumah besar, kereta mewah, pangkat tinggi, harta bertimbun-timbun namun kesenangan yang melimpah ruah itu tidak bisa memberikanku walau secebis ketenangan. Dan kerana itu, bermulalah kisah pengembaraanku di bumi Yang Maha Esa ini.


Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. (Az-Zariyat:56)

**********************************

“ Silakan cik muda,” kata Pak Hassan sambil membuka pintu kereta.

Tanpa membuang masa aku melangkah masuk. Semua mata yang ada di situ terus tertumpu pada kereta mewah milik papaku, Dato Muhammad Arshad Abdul Jamil.

“ Cepat Pak Hassan,” arahku.

Aku rimas sekali dengan keadaan ini. Semua merasakan betapa aku ini sangatlah bertuah kerana dilahirkan dalam sebuah mahligai indah lengkap dengan segala kemewahan dan kesenangan. Namun mereka tidak mengerti betapa hati ini terseksa, aku menderita gara-gara kemewahan itu. Aku sudah jemu dengan hidupku ini. Sejak kecil tidak pernah satu pun kemahuanku yang tidak dipenuhi. Pada masa itu aku rasa sangat bahagia dikelilingi dengan ‘barbie doll’ yang comel-comel, dipakaikan dengan baju-baju yang cantik. Namun kini, segalanya sudah berubah. Aku bukan lagi budak kecil yang boleh disogokkan dengan ‘barbie doll’ atau baju cantik, yang aku mahukan pada masa ini adalah sebuah ketenangan dalam keluarga yang bahagia.

“ Cik muda, makan malam dah siap,” kata Mak Kiah lembut.

“ Safi nak tunggu mama ngan papa,” balasku.

“Dato dan Datin balik lambat malam ni. Datin pesan jangan tunggu, makan dulu, ”kata Mak Kiah lagi.

“ Dahla, Safi tak de selera dah nak makan. Janji nak makan sekali. Safi tak percaya lagi janji mama,”bentakku.

Dari saat itu, aku benci mahligai itu. Mengikut rasa marah dan geramku, aku keluar untuk mengisi kekosongan hati ini. Bersuka-ria di kelab-kelab malam, berparti sampai ke subuh. Di saat itu, keresahan hatiku bisa kulupakan, namun ia hanya sementara. Setelah tamat keseronokan itu, aku kembali ke dalam dilema yang tak berkesudahan.

“ Dulu, cik muda tak macam ini. Tak balik lewat-lewat malam. Pak Hassan risaukan keselamatan cik muda,”tegur Pak Hassan lembut umpama seorang ayah.

Aku yang sememangnya telah menganggap Pak Hassan seperti ayahku terasa begitu terharu kerana perhatiannya kepadaku. Papa dan mama pun tak pernah bertanya ke mana aku pergi. Pada mereka, aku bahagia dengan segala macam kesenangan ini.

“ Safi mintak maaf sebab dah risaukan Pak Hassan. Safi buntu. Safi tak tau apa yang patut Safi buat sekarang. Hati Safi tak tenang. Papa ngan mama tak pernah nak ada dekat rumah. Kawan ramai pun tak guna jugak. Semua berkawan dengan Safi sebab Safi ni anak orang ternama, tak ikhlas pun,”aku meluahkan perasaan yang terbuku bersama juntaian air mata.

“ Safi tahu ke maksud ikhlas yang sebenarnya?”soal Pak Hassan.

“ Apa maksudnya? Honest….jujur…,” jawabku sambil mengesat air mata.

“ Minggu depan mula cuti semester UM kan?Apa kata Safi pergi bercuti ke kampung Pak Hassan dekat Kedah. Boleh tumpang rumah adik Pak Hassan, Mak Leha dan suaminya Pak Yusuf. Dekat situ nanti, Safi boleh belajar maksud ikhlas,”cadang Pak Hassan.

“ Hmmmm, elok jugak tu. Mungkin boleh terjumpa penawar untuk hati Safi ni dekat sana,”aku menyatakan persetujuanku.

*******************************

Pagi yang tenang lagi permai di negeri Darul Aman itu menyambut ketibaanku. Aku terus menuju ke sebuah bangku yang tersedia di stesen bas. Beberapa minit selepas itu, dua orang wanita berhijab serta berjubah menuju ke arahku.

“ Maaf Cik Safiyyah, ummi terlambat,”ucap wanita yang lebih berumur.

Aku sedikit terkejut. Setelah beberapa saat baru kusedari yang di depanku itu adalah Mak Leha dan anak perempuannya.

Mak Leha yang membahasakan dirinya ‘ummi’ itu membawa aku ke rumahnya. Sebuah rumah kampung yang sederhana besar dihiasi dengan pokok-pokok bunga, pohon-pohon hijau yang merimbun di sekeliling rumah menyajikan satu suasana yang nyaman. Dan bermula saat itu, aku menjadi sebahagian dari keluarga itu.

“ Kak Safi, jom kita solat Maghrib berjemaah. Abi ngan Abang Saiful tengah tunggu kita tu,” ajak Aishah yang sudah siap bertelekung sambil menghulurkan sepasang telekung kepadaku.

Solat. Jarang sekali aku mengerjakan tuntutan Rukun Islam yang kedua itu. Selepas meninggalkan asrama, solatku entah ke mana. Tiba-tiba rasa bersalah mencengkam hatiku.

“Perjalanan hidup kita di muka bumi sangatlah sekejap umpama kita berhenti rehat di plaza tol. Dan selepas itu, kita akan menyambung perjalanan kita untuk ke satu destinasi yang mana kita akan hidup di situ selamanya. Akhirat negeri abadi kita. Dunia hanya tempat persinggahan untuk mengumpul bekalan bagi menyambung perjalanan ke negeri abadi.Namun begitu, dunia ini diserikan dengan pelbagai macam nikmat yang bisa mengalpakan para musafir itu. Ramai yang lupa kepada destinasi yang ingin dituju itu. Terlalu asyik mengaut keindahan dunia hingga lupa siapa Pemilik segala keindahan itu. Mereka menjadi sombong,besar diri dan kufur kepada nikmat-nikmat itu.Ingatlah , kita bukan pemilik mutlak kepada setiap apa yang kita miliki. Allah yang Maha Kuasa boleh megambil balik segala kurniaan itu pada bila-bila masa. Dan kerana itu, kita harus bersyukur kepadaNya dan hanya kepadaNya kita meminta dan bergantung.”

Dan (amatlah baiknya) kalau mereka berpuas hati dengan apa yang diberikan oleh Allah dan RasulNya kepada mereka, sambil mereka berkata: Cukuplah Allah bagi kami; Allah akan memberi kepada kami dari limpah kurniaNya, demikian juga RasulNya; sesungguhnya kami sentiasa berharap kepada Allah.(At-Taubah:59)

Dan ingatlah ketika Tuhanmu memaklumkan “Sesungguhnya jika kamu bersyukur,nescaya aku akan menambahkan (nikmat) kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmatKu), maka pasti azabKu sangat berat.”(Ibrahim:14)

Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibumu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatu pun, dan Dia memberimu pendengaran, penglihatan dan hati nurani, agar kamu bersyukur. (An-Nahl:78)

Isi-isi tazkirah selepas solat Maghrib tadi berlegar-legar dalam ruang mindaku. Aku berasa seperti hatiku bagai dipanah petir. Hatiku bergetar mendengar setiap ayat suci dari Tuhan Rabbul Jalil.

Sudah hampir dua minggu aku di Kedah. Dalam masa itu juga banyak yang aku pelajari. Bersama ummi, abi, Aishah dan Abang Saiful membawa aku kembali kepada Tuhan yang satu. Dalam keluarga ini, aku dapat lihat betapa indahnya Islam itu. Tautan kasih sayang sesama mereka begitu erat. Di wajah mereka hanya terpancar senyuman mesra penuh ketenangan.

Pernah suatu malam aku terjaga dari tidur dan hendak ke bilik air. Aku melalui bilik ummi. Pintunya sedikit terbuka dan aku terlihat ummi dan abi sedang sujud penuh khusyuk kepada Sang Pencipta alam ini. Aku terus melangkah. Sampai di bilik Abang Saiful aku terdengar bacaan ayat-ayat suci. Langkahku terhenti. Aku terduduk di situ. Entah mengapa air jernih jatuh berderaian membasahi pipi.

Continue reading

Antara dua wanita

hasil bingkisan:ummuzaid

Antara Dua Wanita

Bagi wanita ‘bebas’ perkara yang paling utama bagi mereka ialah untuk memperkenalkan diri kepada umum. Untuk tujuan ini mereka mengenakan pakaian yang cantik, memakai alat-alat solek yang menimbulkan ghairah, bekerja sebagai seorang profesional yang mempastikannya mendapat pendapatan yang lumayan dan berusaha sedaya upaya mendapatkan seorang teman lelaki (boy friend) atau suami yang segak, tampan dan berada.

Masa lapang bagi wanita ‘bebas’ ini ialah bertemu di ‘cocktail parties’, menari, mendengar muzik, ke pawagam menonton wayang gambar dan siaran TV, bersukan dan membaca buku-buku hiburan serta pornografi. Adalah menjadi kebiasaan baginya untuk menyerahkan tubuhnya bila peluang memberangsangkan. Wanita ‘bebas’ menyetujui badan-badan kebajikan mengambil tugas menjaga orang-orang yang menderita dan miskin kerana masa dan wang yang ada padanya diperuntukkan supaya berseronok-seronok dan menikmati kemudahan-kemudahan yang ditawarkan oleh hidup ini. Bagi wanita ‘bebas’ katalog industri pelancongan amat menarik perhatiannya dan menjadi impian hidupnya jika dapat melancong ke Bahamas, Las Vegas atau Acapulco.

Tetapi bagi wanita yang satu lagi, Muslimah keredhaan Allah S.W.T yang diutamakan. Kecantikan lahiriahnya ketika ia keluar tidak penting malah ia menutup auratnya untuk menyembunyikan kecantikan yang Allah anugerahkan kepadanya dari pandangan umum. Jika ia bekerja, tujuannya ialah untuk berkhidmat kepada masyarakatnya dan bukan sangat untuk mengisi dompetnya. Menyentuh tentang bakal suaminya, ia lebih mengambil berat tentang akhlak yang luhur lebih daripada kejayaan duniawinya. Bagi Muslimah sudah menjadi kebiasaan baginya berada dalam kekusyukan Solat fardhu dan hiburan baginya ialah membaca Kitab suci Al- Quran, merenung tentang kebijaksanaan ciptaan Allah dan berkongsi pandangan rohaniahnya dengan orang yang dikasihinya.

Bagi Muslimah mendisplinkan diri dengan menahan dari lapar dan dahaga serta kemewahan-kemewahan lain semasa bulan Ramadhan adalah punca kepuasan hatinya dan sebagai galakan untuk menambahkan lagi amal soleh.

Tidak terlintas dalam fikiran Muslimah untuk menikmati apa yang dimilikinya itu hanya untuk kepentingannya semata-mata melainkan ia memberikan sebahagian daripadanya kepada orang-orang miskin dan yang lebih memerlukan. Bagi Muslimah setelah bertahun-tahun lamanya barulah ia berjaya mengumpulkan wang yang secukupnya untuk perjalanan yang jauh dalam hidupnya iaitu perjalanan yang mengarahkan kepada mencapai cita-cita rohaniah, pergi menunaikan Fardhu Haji di kota yang panas lagi berdebu dan sesak dengan manusia iaitu di Makkahtul Mukarramah.

-Al mu’minah al Solehah-

GHURABA(Part I)

Sabda Rasulullah s.a.w: “Islam bermula dalam keadaan dagang,ia akan kembali dagang.Beruntunglah orang yang berpegang dengan islam ketika ia dagang.”-hadith riwayat Muslim

Ghuraba didalam bahasa arab bermaksud dagang yakni asing. Rasulullah S.A.W telah bersabda menyatakan bahawa Islam itu bermula dalam keadaan dagang dan akan kembali dagang. Bermula dengan dagang ini dapat digambarkan melalui sejarah penyebaran awal agama Islam di Kota Makkah oleh Rasulullah S.A.W. Dimana pada ketika itu, Islam sangat asing di mata penduduk Makkah dan merupakan satu ancaman kepada ritual asal mereka iaitu menyembah berhala.

Rasulullah S.A.W telah menyebarkan dakwahnya secara meluas, membentuk “core group” yang mantap, terdiri daripada para sahabat yang sangat dalam keimanan terhadap Allah S.W.T dan setia terhadap Rasulullah S.A.W. Islam berkembang dengan pesatnya, dari terbentuknya negara Islam pertama yakni Madinah, kejayaan demi kejayaan dikecapi umat Islam. KITA digentari musuh, disetiap ceruk, laungan keagungan dan kehebatan Islam itu berkumandang .

Lembaran sirah membuktikan pemerintahan Islam diterima pakai oleh semua tidak kira umat Islam mahupun yang bukan Islam. Dalam perjuangan Khalifah Abu Bakar menawan wilayah Byzantine misalnya, penganut agama Kristian pada masa itu lebih rela dan merasa selamat sekiranya mereka dinaungi oleh pemerintahan Islam. Mereka menyambut tentera Islam dengan senang hati, dan menganggap orang-orang Islam sebagai pihak yang dapat melindungi kepentingan mereka berbanding pemerintahan sebelumnya.

Nah! lihat sahabatku, pendukung agama Islam terdahulu telah membuktikan kejayaan Islam, sehinggakan orang bukan Islam sendiri meyakini pemerintahan ini mampu menjamin kemaslahatan hidup mereka. Islam dijulang seantero dunia, selepas kewafatan Rasulullah SAW pada tahun 633M, perjuangan menegakkan agama Islam diteruskan oleh para sahabat, bermula dengan pemerintahan oleh Khulafa` Ar- Rasyideen, Tamadun Umayyah, Abbasiyah dan seterusnya Uthmaniyyah.

Namun, selepas kejayaan demi kejayaan dikecapi, umat Islam mula dihinggapi kelalaian. Cintakan dunia dan lebih mementingkan harta kekayaan ditambah dengan usaha-usaha menjatuhkan tamadun agung ini oleh musuh-musuh Islam yang senantiasa mencari peluang untuk menjauhkan umat Islam dari asas panduan hidup mereka, yakni Al-Quran dan As-Sunnah.

Lalu sistem khalifah akhirnya jatuh pada tahun 1924 di tangan Mustafa Kamal Attartuk! Disinilah bermulanya bibit-bibit kembalinya Islam kepada keadaan dagang.

“Kembali dagang” dapat digambarkan melalui kehidupan masa kini yang dilalui oleh penganut Islam itu sendiri. Di mana, Islam tidak lagi diamalkan secara menyeluruh, kita dikuasai oleh kuasa besar lain sehingga setiap sistem Islam tidak lagi dipraktikkan dalam manhaj kehidupan umat Islam.

Islam dilihat asing, sesiapa yang mengamalkan ajaran Islam dianggap kolot, undang-undang Islam dilihat sebagai undang-undang yang tidak praktikal untuk diamalkan .Islam dilihat sebagai agama yang menyekat penganutnya daripada maju dalam apa-apa bidang sekalipun. Malah sesiapa yang mengajak kepada Islam juga dipandang pelik.

Mudahnya, kita kaitkan sendiri dengan apa yang dimaksudkan “dagang” ini dalam kehidupan kita sebagai pelajar muslim di bumi yang rata-ratanya tidak mengenal Tuhan ini. (Jepun khasnya)

Anda dipandang pelik, hanya kerana anda memakai hijab. Anda dianggap pelik, kerana anda solat lima waktu sehari dan menyembah sesuatu yang tidak nampak oleh mata kasar. Anda dianggap pelik kerana anda tidak menjamah makanan kegemaran mereka dan anda dianggap pelik kerana anda menolak sama sekali apabila diajak untuk meneguk minuman kegemaran mereka.

Kenapa ini berlaku?

Kerana Islam itu asing, masih dagang di mata mereka!

Kenapa Rasulullah S.A.W menegaskan “beruntunglah mereka yang berpegang pada Islam ketika ia dagang”:

Continue reading