Aku Hanyalah Seorang Hamba

Aku melihat wajahku di cermin sekali lagi sambil membetulkan hijabku. Hari ini menjadi sejarah penting dalam hidupku. Hari ini aku berhijab bukan untuk menghadiri majlis kenduri arwah atau majlis bacaan yasin tetapi hari ini, selayaknya sebagai hamba yang lemah aku mentaati perintahNya.

Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman, agar mereka menjaga pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah menampakkan perhiasannya(auratnya), kecuali yang (biasa) terlihat. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kerudung ke dadanya,; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka atau saudara-saudara mereka atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam atau hamba-hamba mereka atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya. (An-Nur:31)

Bahtera yang sekian lama kulayari untuk sebuah misi mencari kebenaran jua ketenangan, akhirnya bisaku labuhkan sauhnya. Kegelapan pekat yang menghantui diri ini akhirnya ditembusi sinar keimanan dan ketaqwaan. Betapa selama ini, aku hidup dalam sia-sia tanpa tujuan dan matlamat yang pasti. Aku sibuk sekali mengejar kemewahan duniawi. Rumah besar, kereta mewah, pangkat tinggi, harta bertimbun-timbun namun kesenangan yang melimpah ruah itu tidak bisa memberikanku walau secebis ketenangan. Dan kerana itu, bermulalah kisah pengembaraanku di bumi Yang Maha Esa ini.


Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. (Az-Zariyat:56)

**********************************

“ Silakan cik muda,” kata Pak Hassan sambil membuka pintu kereta.

Tanpa membuang masa aku melangkah masuk. Semua mata yang ada di situ terus tertumpu pada kereta mewah milik papaku, Dato Muhammad Arshad Abdul Jamil.

“ Cepat Pak Hassan,” arahku.

Aku rimas sekali dengan keadaan ini. Semua merasakan betapa aku ini sangatlah bertuah kerana dilahirkan dalam sebuah mahligai indah lengkap dengan segala kemewahan dan kesenangan. Namun mereka tidak mengerti betapa hati ini terseksa, aku menderita gara-gara kemewahan itu. Aku sudah jemu dengan hidupku ini. Sejak kecil tidak pernah satu pun kemahuanku yang tidak dipenuhi. Pada masa itu aku rasa sangat bahagia dikelilingi dengan ‘barbie doll’ yang comel-comel, dipakaikan dengan baju-baju yang cantik. Namun kini, segalanya sudah berubah. Aku bukan lagi budak kecil yang boleh disogokkan dengan ‘barbie doll’ atau baju cantik, yang aku mahukan pada masa ini adalah sebuah ketenangan dalam keluarga yang bahagia.

“ Cik muda, makan malam dah siap,” kata Mak Kiah lembut.

“ Safi nak tunggu mama ngan papa,” balasku.

“Dato dan Datin balik lambat malam ni. Datin pesan jangan tunggu, makan dulu, ”kata Mak Kiah lagi.

“ Dahla, Safi tak de selera dah nak makan. Janji nak makan sekali. Safi tak percaya lagi janji mama,”bentakku.

Dari saat itu, aku benci mahligai itu. Mengikut rasa marah dan geramku, aku keluar untuk mengisi kekosongan hati ini. Bersuka-ria di kelab-kelab malam, berparti sampai ke subuh. Di saat itu, keresahan hatiku bisa kulupakan, namun ia hanya sementara. Setelah tamat keseronokan itu, aku kembali ke dalam dilema yang tak berkesudahan.

“ Dulu, cik muda tak macam ini. Tak balik lewat-lewat malam. Pak Hassan risaukan keselamatan cik muda,”tegur Pak Hassan lembut umpama seorang ayah.

Aku yang sememangnya telah menganggap Pak Hassan seperti ayahku terasa begitu terharu kerana perhatiannya kepadaku. Papa dan mama pun tak pernah bertanya ke mana aku pergi. Pada mereka, aku bahagia dengan segala macam kesenangan ini.

“ Safi mintak maaf sebab dah risaukan Pak Hassan. Safi buntu. Safi tak tau apa yang patut Safi buat sekarang. Hati Safi tak tenang. Papa ngan mama tak pernah nak ada dekat rumah. Kawan ramai pun tak guna jugak. Semua berkawan dengan Safi sebab Safi ni anak orang ternama, tak ikhlas pun,”aku meluahkan perasaan yang terbuku bersama juntaian air mata.

“ Safi tahu ke maksud ikhlas yang sebenarnya?”soal Pak Hassan.

“ Apa maksudnya? Honest….jujur…,” jawabku sambil mengesat air mata.

“ Minggu depan mula cuti semester UM kan?Apa kata Safi pergi bercuti ke kampung Pak Hassan dekat Kedah. Boleh tumpang rumah adik Pak Hassan, Mak Leha dan suaminya Pak Yusuf. Dekat situ nanti, Safi boleh belajar maksud ikhlas,”cadang Pak Hassan.

“ Hmmmm, elok jugak tu. Mungkin boleh terjumpa penawar untuk hati Safi ni dekat sana,”aku menyatakan persetujuanku.

*******************************

Pagi yang tenang lagi permai di negeri Darul Aman itu menyambut ketibaanku. Aku terus menuju ke sebuah bangku yang tersedia di stesen bas. Beberapa minit selepas itu, dua orang wanita berhijab serta berjubah menuju ke arahku.

“ Maaf Cik Safiyyah, ummi terlambat,”ucap wanita yang lebih berumur.

Aku sedikit terkejut. Setelah beberapa saat baru kusedari yang di depanku itu adalah Mak Leha dan anak perempuannya.

Mak Leha yang membahasakan dirinya ‘ummi’ itu membawa aku ke rumahnya. Sebuah rumah kampung yang sederhana besar dihiasi dengan pokok-pokok bunga, pohon-pohon hijau yang merimbun di sekeliling rumah menyajikan satu suasana yang nyaman. Dan bermula saat itu, aku menjadi sebahagian dari keluarga itu.

“ Kak Safi, jom kita solat Maghrib berjemaah. Abi ngan Abang Saiful tengah tunggu kita tu,” ajak Aishah yang sudah siap bertelekung sambil menghulurkan sepasang telekung kepadaku.

Solat. Jarang sekali aku mengerjakan tuntutan Rukun Islam yang kedua itu. Selepas meninggalkan asrama, solatku entah ke mana. Tiba-tiba rasa bersalah mencengkam hatiku.

“Perjalanan hidup kita di muka bumi sangatlah sekejap umpama kita berhenti rehat di plaza tol. Dan selepas itu, kita akan menyambung perjalanan kita untuk ke satu destinasi yang mana kita akan hidup di situ selamanya. Akhirat negeri abadi kita. Dunia hanya tempat persinggahan untuk mengumpul bekalan bagi menyambung perjalanan ke negeri abadi.Namun begitu, dunia ini diserikan dengan pelbagai macam nikmat yang bisa mengalpakan para musafir itu. Ramai yang lupa kepada destinasi yang ingin dituju itu. Terlalu asyik mengaut keindahan dunia hingga lupa siapa Pemilik segala keindahan itu. Mereka menjadi sombong,besar diri dan kufur kepada nikmat-nikmat itu.Ingatlah , kita bukan pemilik mutlak kepada setiap apa yang kita miliki. Allah yang Maha Kuasa boleh megambil balik segala kurniaan itu pada bila-bila masa. Dan kerana itu, kita harus bersyukur kepadaNya dan hanya kepadaNya kita meminta dan bergantung.”

Dan (amatlah baiknya) kalau mereka berpuas hati dengan apa yang diberikan oleh Allah dan RasulNya kepada mereka, sambil mereka berkata: Cukuplah Allah bagi kami; Allah akan memberi kepada kami dari limpah kurniaNya, demikian juga RasulNya; sesungguhnya kami sentiasa berharap kepada Allah.(At-Taubah:59)

Dan ingatlah ketika Tuhanmu memaklumkan “Sesungguhnya jika kamu bersyukur,nescaya aku akan menambahkan (nikmat) kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmatKu), maka pasti azabKu sangat berat.”(Ibrahim:14)

Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibumu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatu pun, dan Dia memberimu pendengaran, penglihatan dan hati nurani, agar kamu bersyukur. (An-Nahl:78)

Isi-isi tazkirah selepas solat Maghrib tadi berlegar-legar dalam ruang mindaku. Aku berasa seperti hatiku bagai dipanah petir. Hatiku bergetar mendengar setiap ayat suci dari Tuhan Rabbul Jalil.

Sudah hampir dua minggu aku di Kedah. Dalam masa itu juga banyak yang aku pelajari. Bersama ummi, abi, Aishah dan Abang Saiful membawa aku kembali kepada Tuhan yang satu. Dalam keluarga ini, aku dapat lihat betapa indahnya Islam itu. Tautan kasih sayang sesama mereka begitu erat. Di wajah mereka hanya terpancar senyuman mesra penuh ketenangan.

Pernah suatu malam aku terjaga dari tidur dan hendak ke bilik air. Aku melalui bilik ummi. Pintunya sedikit terbuka dan aku terlihat ummi dan abi sedang sujud penuh khusyuk kepada Sang Pencipta alam ini. Aku terus melangkah. Sampai di bilik Abang Saiful aku terdengar bacaan ayat-ayat suci. Langkahku terhenti. Aku terduduk di situ. Entah mengapa air jernih jatuh berderaian membasahi pipi.

“ Ummi, Abang Saiful tak suka Safi dok kat sini ke?Dia macam mengelak aje dari Safi,” tanyaku suatu hari.

“ Ish, tak lah Safi. Dia malu ngan Safi kot,” jawab ummi.

Dan semasa sedang menonton berita bersama Aishah malam itu, aku mendapat jawapan terus darinya. Kata-kata yang tidak akan aku lupakan.

Ana bukan tak suka enti, tapi ana cuba untuk menjaga batas-batas antara kita. Allah jadikan wanita sangat unik dan cantik bukanlah untuk tatapan mata-mata lelaki. Tapi keindahan itu milik mutlak sang suami,” jelas abang Saiful.

” Apa matlamat anda?Sudah pasti kita akan dapati pelbagai jawapan dari soalan mudah ini. Kalau ditanya kepada para penuntut pasti jawapannya mahu cemerlang dalam pelajaran dan seterusnya mencapai cita-cita menjadi apa-apa…..doktor ke, engineer ke…macam-macam la. Ana bagi satu analogi mudah, seorang saintis mencipta satu robot, sudah pasti la saintis tersebut akan ‘menset’kan siap-siap matlamat penciptaan robot tu. Nak robot tukang masak ke, robot tukang cuci ke, dan lain-lain. Berbalik kepada soalan matlamat tadi, jawapannya sepatutnya kita peroleh daripada yang mencipta kerana kita ini macam robot tadi. Kalau saintis tu tak cipta robot, maka tak de la robot tu kat dunia ni. Saintis tu pun bila-bila masa saje boleh nak musnahkan robot tu. Sama macam kita, Allah ciptakan kita untuk mengabdikan diri kepadaNya. Maksudnya di sini, tidaklah kita 24 jam atas tikar sembahyang. Kita bukan malaikat. Allah tahu kita ni lemah, kene bekerja, berehat, perlu makan minum, berkeluarga….tapi jika seseorang tu faham dan jelas matlamat hidupnya hanya kerana Allah, pasti hidupnya sehari-harian akan menjadi ibadah kerana setiap perlakuannya kerana Allah. Jika dia pelajar, dia akan belajar bersungguh-sungguh kerana Allah, jika dia seorang peniaga, dia akan menjadi peniaga yang jujur dan berakhlak mulia. Dan jika benar-benar mengerti matlamat ini, apa-apa pekerjaan yang dilakukan , kita tidak akan mengharapkan apa-apa balasan atau pujian dari manusia tapi hanya menagih redaNya. Inilah sebenar-benar ikhlas.”

Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. (Al-An’am:162)

Isi ceramah yang disampaikan oleh Pak Yusuf selaku penceramah jemputan pada malam itu di Masjid Al-Bukhori benar-benar menginsafkan diri ini. Aku benar-benar insaf Ya Allah……..

“ Ummi, esok jom kita ke bandar. Safi nak beli tudung ngan baju. Safi nak benar-benar menutup aurat ummi,” kataku sebak.

Allah Ya Rabbi
Aku ini hamba hina dengan sejuta palitan dosa
Wujud dari air hina atas ihsan Engkau

Yang setiap saat menikmati titisan nikmatMu

Tanpa mengerti hakikat kejadian diri

Teraba aku dalam sinar

Yang kadang terang

Kadang kelam

Lalu kutemui ketenangan dalam ajaranMu
Allah Ya Rabbi

Ampuni hambamu ini
Deraian jernih air mata

Belum tentu berzikir dalam redaMu
Dan Rabbi

Aku ingin kembali

Menjunjung Quran dan sunnah

Setulus fahaman

Rasulullah dan sahabat

Rabbi

Andaiku masih jauh denganMu

Kurniakanlah daku petunjuk hidayahMu
Andai kau menginginkan aku sesat
Tiada siapa yang mampu menolongku
Hanya Engkau yang bisa menolongku
Kasihanilah aku ini
Hamba yang hina
PadaMu aku mengadu

PadaMu meminta
Dan padaMu aku kembali.

“ Banyaknya hadiah akak dapat. Aishah nak jugak,”rengek Aishah.

“ Jangan la jealous. Ni hadiah dari ummi, abi dan Aishah jugak. Eh, ada lagi satu la, sape kasi ni ?”aku kehairanan.

“ Sape lagi, abang Saiful la. Semalam Aishah nampak dia balut hadiah tu. Cepatla bukak, Aishah nak tengok abang kasi ape?”balas Aishah ingin tahu.

Hari ini aku akan pulang ke KL, bandar raya yang amat sibuk itu dengan membawa benih-benih iman dalam diri ini.

“ Lawanya kak Safi hari ini. Berjubah indah dengan tudung warna peach gitu. Pandai la pulak abang pilih baju ngan tudung yang memang matching lah. Abang, mata tu jage. Jangan nak tenung anak dara orang. Kalau nak, esok kita pi masuk meminang,”usik Aishah.

“ Ummi, abi, Aishah dan Abang Saiful, Safi ucap terima kasih banyak-banyak kerana jaga Safi hampir sebulan Safi dekat sini. Halalkan semuanya ye,”ucapkan sebelum menaiki bas.

**********************************

Kini, aku kembali mengharungi ombak dan badai. Tapi kali ini di dalam bahtera perjuangan. Menyambung kembali misi dakwah Muhammad SAW dan para sahabat. Perjuangan yang menjanjikan pelbagai rintangan dan penuh dengan ujian. Kupohon padamu Ya Rabbi, berilah aku kekuatan jua kesabaran dalam menempuhi jalan untuk menegakkan al-haq ini.

Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah? Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah).

(Al- Baqarah:214)

4 thoughts on “Aku Hanyalah Seorang Hamba

  1. subhanallah…indahnya kisah ini. sekaligus mengingatkan diri yang hampir terleka ini setiap amalan adalah untuk kehidupan di sana. bukan untuk persinggahan yang sebentar ini.

    jazakillah

Mari berinteraksi di sini. Setiap patah kata dihargai.

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s