Ajaibnya kuasa doa

Oleh : Cik Semutmerah

 

Ramai orang lebih suka mengeluh apabila dugaan menimpa.

Ramai orang lebih suka meminta kepada manusia apabila mereka inginkan sesuatu.

Ramai orang berkata doa itu senjata mukmin tetapi tidak ramai yang punya pemahaman dan pengertian yang sebenar-benarnya tentang doa. Jika semua orang mengerti makna doa itu dengan betul pasti semua orang akan punya sifat tenang menghadapi kehidupan kerana hanya doa yang mampu buat para mukmin hidup dengan penuh redha dan mengharap kepada Allah semata.

Menyingkap peristiwa yang berlaku di bulan Ramadhan ini, terlintas peristiwa perang Badar. Peperangan pertama bagi umat Islam yang juga berlaku di bulan Ramadhan. Mungkin kita semua sedia maklum tentang kondisi tentang Islam ketika perang Badar. Bilangan tentera Islam yang sedikit ditambah pula dengan kelengkapan perang tentera Islam yang hanya ada beberapa bilah pedang, kayu dan beberapa ekor kuda. Jauh berbeza dengan tentera Quraisy yang ramai berganda dan kelengkapan perang mereka yang cukup lengkap ketika itu.Terlihat begitu mustahil untuk tentera Islam menawan puak Quraisy sekaligus memenangi perang tersebut. Namun, kuasa doa merubah segalanya. Kuasa doa merubah yang mustahil menjadi tidak mustahil lagi.

Rasulullah s.a.w berdoa kepada Allah s.w.t

“ Ya Allah, jika Engkau binasakan pasukan ini ( Islam), Engkau tidak akan disembah lagi di muka bumi ini. Ya Allah penuhilah janji Mu kepadaku.Ya Allah berikanlah pertolonganMu.”

Dan Allah takdirkan kemenangan berpihak kepada tentera Islam ketika itu.

Bicara tentang keajaiban doa, pasti masih ada yang meragui. Namun bagi siapa yang pernah berdepan dengan situasi keajaiban doa ini pastinya ia suatu yang mampu memberi kesan yang cukup mendalam kepadanya. Berkongsi pengalaman keajaiban doa ini, ada cerita yang ingin dikongsi.

Ketika itu seorang pelajar sedang menjawab soalan peperiksaan yang agak sukar. Kertas itu adalah antara kertas yang bakal menentukan nasibnya sama ada layak melanjutkan pelajaran ke Jepun atau pun tidak. Tiba di soalan kelima, ditakdirkan pelajar itu buntu. Dirasakan pernah menjawab soalan seumpama itu namun sedikit pun tidak terlintas di benak fikiran cara untuk mula menjawab soalan itu. Masa semakin suntuk, didahulukan untuk jawab soalan-soalan lain dan soalan itu diputuskan untuk dijawab akhir sekali. Tidak putus selawat kepada nabi dilafaz di bibir, hati tidak putus berdoa mohon diberii lham untuk menjawab soalan tersebut. Masa mengejar dan seiring dengan kepantasan waktu berlalu, hati semakin rancak berdoa mohon diberi ilham. Tidak ada sekelumit pun rasa mahu berputus asa kerana pelajar itu yakin tidak mustahil dengan kuasa doa, Allah mampu berikan ilham untuk menjawab soalan itu.

Dan, apa yang berlaku seterusnya?

Allah telah beri ilham kepada pelajar itu untuk jawab soalan yang cukup menguji minda itu. Dengan rahmat dan keizinan Allah s.w.t, di fikiran pelajar itu terbayang-bayang cara bagaimana mahu mulakan langkah menjawab soalan itu sehingga pelajar itu mampu peroleh jawapan yang dikehendaki. Percayalah, ini bukan kisah dongeng, kerana pelajar itu adalah diri saya sendiri. Percayalah, peristiwa itu sangat-sangat mengesankan saya bahawa dengan doa, segalanya tidak mustahil dicapai.

Mohonlah apa saja, Allah akan mendengar. Kerana Allah telah berjanji dalam firman-Nya.

“ Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu ( Muhammad) tentang Aku, maka sesungguhnya Aku dekat. Aku kabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Hendaklah mereka itu memenuhi (perintah)-Ku dan beriman kepada-Ku, agar mereka memperoleh kebenaran.” [Al-Baqarah2 :186]

Allah berjanji untuk kabulkan permintaan hamba-Nya yang berdoa namun disertakan dengan syarat di belakangnya hendaklah hamba-Nya yang berdoa itu memenuhi perintah Allah dan beriman kepadaNya. Bukanlah meminta tanpa kita taat kepada Allah s.w.t

Analoginya mudah, mana mungkin kita boleh meminta guru kita naikkan markah kita yang 79 kepada 80 markah untuk mendapat grade A sedangkan kita ini seorang pelajar yang malas ke kelas dan selalu berlaku biadap terhadap guru kita.

Mana mungkin kita ini boleh memohon begitu saja kepada Allah s.w.t tanpa kita taat kepada perintah Allah s.w.t.

Kini kita berada di bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya ada tiga fasa iaitu fasa kerahmatan, keampunan dan perlepasan daripada api neraka. Bulan ini juga di angkat segala hijab yang mana Allah memakbulkan permintaan hamba-Nya yang memohon dengan penuh khusyuk dan bersungguh-sungguh.

Marilah gunakan peluang ini untuk kita berdoa diberi kehidupan yang lebih baik dari sebelum ini.

Marilah gunakan peluang ini untuk kita berdoa diberi akhlak yang lebih baik dari akhlak kita sebelum ini.

Marilah gunakan peluang ini untuk kita berdoa dihakis segala sifat-sifat keji dari dalam diri kita agar kehidupan kita lebih tenang hingga kita bertemu Pencipta kita.

Marilah gunakan peluang ini untuk kita berdoa agar diberi hati yang sentiasa dekat dengan Allah hatta bila kita mati sekali pun biarlah mati kita dalam keadaan kita sedang mengingat Allah.

Doalah apa saja asalkan kita tidak lupa untuk taat kepad aperintah Allah. Doalah apa saja walau ia terlihat mustahil namun yakinkan hati ketika berdoa bahawa Allah jua Yang Maha Memungkinkan Kemustahilan.

3 thoughts on “Ajaibnya kuasa doa

  1. perbuatlah sessuatu kebaikan dan lakukan dengan tulus .pasti jiwa mu akan tenang …harapan
    mu akan sesuatu dimasa depan akan dibukakan oleh Nya.

  2. Apa yang tertulis diatas sama kes seperti saya,,,,,, kejaiban doa,,,allah s.w.t telah selamatkan hidup saya,,,,saya sungguh terharu,amat bersyukur pada mu allah s.w.t

Mari berinteraksi di sini. Setiap patah kata dihargai.

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s