Dimana Nilai Ukhwah Andai……..

Kata orang hidup ini ibarat roda, kadang di atas kadang kita dibawah. Mendengar tentang hidup dan roda, teringat saya pada satu lirik indah lagu nyanyian penyanyi Amar bertajuk Melodi Bersama;

” kiasan hidup ibarat roda

kekadang di atas, dibawah di atas semula

redha dan syukur atas kehendaknya

itulah tanda kasih sayang kita.”

Sebut tentang kehidupan, banyak jawapan tentang kehidupan ini. Ada yang kata kehidupan ini menyeronokkan. Ada yang kata kehidupan ini cukup menyedihkan, tidak kurang yang kata kehidupan ini sungguh menarik berselang seli gembira dna sedihnya.

Hakikatnya, kehidupan ini diciptakan Allah bukanlah sia-sia tanpa asbab. Setiap yang Allah cipta semuanya ada sebab dan hikmah. Hatta, lalat yang kita tidak suka itu sekalipun diciptakan Allah dengan asbab yang hanya Allah Yang Tahu. Mengapa diciptakan hidup dan mati? Jawapannya ada di dalam kalam Allah,

” Yang menciptakan mati dan hidup, untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Mahaperkasa, Maha Pengampun.” [ Al- Mulk 67: 2]

Ya, dalam hidup ini sebenarnya kita diuji. Allah menguji kita dengan nikmat sedih untuk mengetahui siapa yang bersabar dengan kesedihan yang menimpanya. Allah menguji kita dengan nikmat senang dan gembira, untuk mengetahui siapa antara kita yang bersyukur dengan nikmat gembira dan senang itu. Siapa yang bersabar dengan nikmat kesedihan dan kesusahan yang menimpanya, dan siapa yang bersyukur dengan nikmat senang dan gembira yang diperolehinya, maka merekalah yang baik amalannya.

Kesedihan itu memang kita lihat sebagai ujian, tetapi jangan dilupa bahawa  manusia juga diuji dengan nikmat senang dan gembira. Siapa yang tidak pernah diuji? Sila angkat tangan. Hehe, kalau pembaca angkat tangan pun saya mana boleh nampak kan?🙂

Kita merasa diuji bila kehilangan insan yang amat kita sayang. Kita merasa diuji apabila kita tidak dapat apa yang kita harapkan. Ujian datang dari pelbagai sudut. Ada yang datang daripada perasaan kita sendiri, ada juga yang datang dari orang-orang sekeliling kita.

Ujian dari orang-orang sekeliling?

Kamu pernah terasa hati dengan kata-kata dan perbuatan sahabat kamu?

Jawablah dalam hati.

Bila masuk dunia keakhwatan dulu, dua perkataan yang sering saya dengar ketika itu adalah ‘ berlapang dada’. Ya, berlapang dada. Lebih parah apabila saya diberitahu, berlapang dada merupakan tingkatan terendah dalam berukhwah. Parah! Jika kita tidak mampu berlapang dada dengan akhwat lain, apalah sangat nilai ukhwah kita. Bererti, berlapang dada ini merupakan perkara yang patut ada dalam jiwa insan-insan yang berukhwah.

Bila diuji dengan sahabat yang berbagai-bagai, kita jadi sedih, kecewa, terkilan. Mengapa si A seringkali cakap tak berlapik, seringkali hati kita seakan hancur mendengar apa saja perkataan yang keluar dari mulutnya. Mengapa kita saja yang perlu bersabar menunggu si B membalas mesej pertanyaan kita tentang kerja dakwah, sedangkan dia seronok bersuka ria kesana kemari.

Bila kita mengadu, satu nasihat yang keluar dari mulut akhwat hanyalah berlapang dada.

Mengapa aku saja yang kena berlapang dada? Mengapa bukan dia yang kena berlapang dada dengan aku?

Sabar. Cuba senyum sikit🙂

Menjadi orang yang sering berlapang dada dengan orang lain amatlah memeritkan. Sebaliknya, menjadi orang yang sering mengharap orang lain berlapang dada dengan kita amatlah menyeronokkan. Yelah, kita boleh saja tak balas mesej pertanyaan akhwat, tidak beri kerjasama kepada ahli kumpulan kita dalam kerja berkumpulan, orang lain pasti berlapang dada dengan kita. Kita tak rasa apa-apapun. Kita selalu harap orang lain untuk fikir, manusia tidak lepas dari melakukan kesilapan.

” Manusia tidak ada yang sempurna. Setiap manusia pasti melakukan kesilapan.”

Mari muhasabah. Ayat itu memanglah memaksudkan manusia ini tidak sempurna, jadi kalau manusia buat dosa, memang tak pelik lah. Mahu tak mahu, orang yang faham erti berlapang dada tu, kenalah berlapang dada. Tapi, harus kita ingat. Harus kita kaji sedalamnya ayat ini. Ayat ini bukanlah untuk kita guna untuk membuatkan kita terus merasa senang berbuat salah kepada orang lain. Tapi, ayat ini sebenarnya ayat motivasi untuk kita memaafkan kesalahan orang lain.

Ayat diatas boleh digunakan oleh dua golongan. Golongan pertama adalah golongan yang suka mengambil kesempatan, mereka akan terus mengambil kesempatan dan mengharapkan orang lain menganggap mereka tidak sempurna dan boleh berlapang dada dengan mereka.

Golongan kedua adalah yang menjadikan ayat ini sebagai dorongan untuk terus kuat berlapang dada dengan orang lain kerana memahami hakikat manusia ini tidak sempurna. Kemaafan itu kunci untuk menghalang permusuhan.

Jadilah golongan kedua. Yang menjadikan ayat itu untuk memotivasikan diri untuk memaafkan. Jangan jadi golongan pertama, yang salah mentafsir maksudnya dan terus meneruskan menyakiti hati sahabat dengan harapan mereka pasti dimaafkan.

Jangan mengharapkan orang berlapang dada dengan kita, tapi gunakan berlapang dada itu untuk kita memaafkan kesilapan orang lain dan berbaik sangka dengan orang lain. Berlapang dada ini bukanlah yang kita harap dari orang lain, tapi ianya adalah apa yang kita perlu buat sekiranya hati kita kecewa dan sedih dengan sikap sahabat kita.

Kehidupan masih panjang, ketika meniti kehidupan ini sendiri pastinya kita akan lebih banyak diuji. Diuji dengan manusia yang berbagai-bagai kerenahnya. Kadang-kala kita tidak boleh melenting bila hati kita disakiti, cubalah untuk menjadi orang yang mudah memaafkan kesilapan orang lain. Kerana siapa tahu suatu hari nanti, akan tiba masa kita memerlukan orang untuk memaafkan kesilapan kita.

” Erti Hidup Pada Memberi “

Apalah erti hidup tanpa memberi. Apalah erti hidup andai kita sentiasa menerima, tidak pernah memberi. Apalah erti hidup andai tidak pernah kita mahu berlapang dada dengan orang lain, tapi sentiasa mengharap orang lain berlapang dada dengan kita. Hidup ini tak selamanya kita di atas. Jika hari ini kita sukar memaafkan kesilapan orang lain, mana tahu suatu hari nanti kita pula menjadi orang yang mengharap diri kita di maafkan.

Hidup ini bukan tentang hukum karma, what you give you get back. Bukan! Itu semua karut.! Dalam Islam tidak ada nilai dendam dan membalas dendam. Islam tidak pernah mengajar penganutnya mengharapkan orang yang buat salah diberi balasan yang setimpal.

Kerana Islam itu cantik, kita diajar tentang erti memaafkan.

Kerana Islam itu cantik, kita diajar erti berlapang dada sehingga ia menjadi tingkatan terendah dalam ukhwah.

Jika tiada nilai berlapang dada, muhasabah kembali dimana letaknya nilai ukhwah kita. Tapi jangan jadi orang yang mengharap orang lain berlapang dada dengan kita, tapi jadilah orang yang tidak jemu berlapang dada apabila diuji dalam berukhwah.

Kadang kala nilai ukhwah itu lebih bernilai hanya dengan memaafkan🙂

Mari berinteraksi di sini. Setiap patah kata dihargai.

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s