Saudara Baginda SAW

Bismillahirrahmanirrahim…
Allahumma  faghfirli 3x
Ashhadu ala ila ha ilallah, muhammadar rasulullah.

Assalamualaikum wbt. Sihat semua? Alhamdulillah, semoga dalam peliharaan Allah SWT sentiasa. Hari ni nak share~

Kita dan Muhammad SAW…

Kita memang bukan sahabat baginda yang hidup bersama dengannya. Namun kitalah saudara (ikhwan) yang baginda rindui… Andai Anas bin Malik bercita-cita untuk menemui baginda dan mengatakan “aku lah pembantu kecil (unais) mu”, maka dambakanlah untuk bertemu baginda SAW dan katakan sesuatu padanya.

Andai saja baginda tetap berpeluk tubuh selepas menerima wahyu, tanpa mengeluarkan peluh dan darah, lalu perjuangan cinta suci ini tidak disambung oleh para sahabat dan mereka yang seterusnya; pasti saja nikmat Islam hari ini takkan kita rasai.

Andai syurga destinasi yang kita dambakan, maka ikutilah jalan baginda dan orang yang mengikutinya. Mujahadah itu payah kerana syurga dijanjikan indah. Lihat saja jalan ditempuhi bagi mereka yang dijamin syurga.

“Katakanlah (wahai Muhammad): Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia kepada Allah dengan yakin. Dan aku menegaskan: Maha suci Allah; dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain.”
[Yusuf 12: 108]

“Dan demikian pula kami jadikan kamu (umat Islam) ‘umat pertengahan’ agar kamu menjadi saksi kepada atas (perbuatan) manusia, dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu. …”
[al Baqarah 2:143]

Ada tugas yang harus dilakukan. Berundur sekali-kali tidak. Lambat jangan hendaknya. Wahai sahabat, yakinlah dengan jalan ini. Thabat dan istiqamah lah.

Wahai burung hijau,
bawa kami bertemu baginda.
Dia merindui kami,
dan kami juga sungguh merindui baginda SAW.

Dari kekasih untuk mu kekasih,
moga kami mendapat syafaatmu,
moga kita bertemu di syurgaNya.

Dari kekasih untuk mu kekasih,
perjuangan ini takkan sepi tersisih,
demi redha yang Maha Pengasih.

Selawat dan salam ke atas baginda,
Rasulullah SAW.

Allahualam.

Cita-cita kami tertinggi

Berangkatlah kamu baik dengan rasa ringan maupun dengan rasa berat, dan berjihad lah dengan harta dan jiwamu di jalan Allah. yang demikian itu adalah lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.(At-taubah,9:41)

Jihad itu susah

Jihad itu payah

Pelik andai terasa senang

Dusta andai terasa mudah

Sunnatullah

Setiap jihad pasti beserta ujian

Namun

Jihad membahagiakan

Jihad mengembirakan

Jihad menghidupkan

Sekalian hati2 yang layu

yang alpa, yang lalai

dengan hiasan dunia

Allah adalah tujuan kami
Rasulullah teladan kami
Alquran pedoman hidup kami
Jihad adalah jalan juang kami
Mati di jalan Allah adalah
Cita2 kami tertinggi

Cerpen AkiKombo: Aku ingin mencintai-MU

Mungkin kali ini merupakan ikhtiar terakhir usaha pihak Quraisy untuk menghentikan dakwah Rasullullah SAW. Pelbagai usaha telah mereka cuba, namun umat Islam tetap bertahan. Walau di desak, di ejek, dan di seksa sedahsyat mana sekalipun, mereka masih tetap mempertahankan iman. Maka, pada hari itu, dengan perantaraan bapa saudara Rasullullah SAW, pembesar terhormat dari suku kaum bani hasyim, mereka berunding.

“Muhammad, tinggalkanlah apa yang kau bawa. Sekiranya kau mahukan kekayaan, kami akan beri dengan sebanyaknya. Jika kau ingin kuasa, kami akan tabalkan kau jadi ketua kami..”

Abu Jahal menawarkan tawaran kepada Rasullullah SAW, menyangka bahawa tawaran sebegitu bisa memalingkan hati Rasulullah SAW dari terus berdakwah.

“ Baiklah, wahai Abu Jahal mahukah kau jika aku ajarkan padamu suatu kalimah yang dengannya kamu bakal menguasai seluruh tanah arab seluruh pelusuk dunia?.”

Mata utusan Quraisy mula bersinar-sinar bila mendengar kata balas dari Rasulullah SAW. Memang lumrah seorang pembesar, yang ada dimata hanyalah kuasa, pangkat dan harta!

“ Ucapkanlah…La ilaha Ilallah. Muhammad urrasulullah. “

Tenang rasullullah SAW menuturkan kalimah haq itu.

Air muka Abu Jahal dan pembesar-pembesar Quraisy di situ berubah terus menjadi merah padam. Jika diikutkan hati, mahu sahaja dia membunuh Muhammad ketika itu juga.

“ Muhammad! Jika kalimah inilah yang engkau maksudkan, kau bukan sahaja menempah padah dari suku arab, malah dari seluruh pelusuk dunia!”

Ada apa dengan dua kalimah itu sehingga Abu Jahal rasa tergugat sebegitu rupa?

***

Masih terngiang-ngiang saat Kak Asma’ menyelitkan kisah yang sudah berlaku lebih 1400 tahun yang lalu di Autumn Gathering minggu lepas. Sgalanya bagai masih basah dalam ingatan. Kehairanan tatkala membayangkan Abu Jahal yang kafir itu begitu takut dengan kalimah dua syahadah yang bagi kita selama ini hanyalah kalimah yang terkandung perkataan Allah sebagai Tuhan. Dan Muhammad sebagai rasul. Cukup.

“ Kerana Abu Jahal itu sudah terlalu fahamlah dia menolak sekeras-kerasnya kalimah syahadah itu…” , ujar Kak Asma’ lagi.

Entahlah,sebelum ini, selama lebih 20 tahun menghirup nafas, hidup dipayungi atmosfera Allah, tidak aku persoalkan, tidak aku cuba fahami kenapa syahadah itu membawa pengertian yang amat besar sekali. Pentingnya kalimah ini sehingga menjadi rukun pertama dalam rukun Islam. Melebihi tuntutan solat dan dan syariat yang lain. Rupa-rupanya syahadah itu tidak aku fahami, tidak aku rasai, dan tidak berbekas dalam hati.

“ Lailahaillah…maksudnya penafian atas segala sembahan selain Allah..”.

Ya, mungkin yang terbayang di kepala untuk menjadi ‘islam’, hanya perlu mengucapkan dua kalimah syahadah dan tidak menyembah atau dalam erti kata lain tidak sujud dan tunduk kepada ‘berhala’. Wah, mungkin berhala itu ‘valid’ sebagai sembahan untuk orang kafir pada zaman itu sahaja.

“ Jangan lupa, orang Arab tu sebenarnya sudah tahu yang Allah itu Tuhan. Tetapi ada satu perkara yang mereka tidak buat, kerana, jika mereka percaya dan meyakini perkara itu,mereka takut terputus mata pencarian “, Kak Asma’ menyambung pengisian. Aku terus berkedip-kedip mata. Ku lihat ketika itu, teman-teman yang lain seperti Ros dan Deena juga sama sepertiku. Tidak sabar mahu mendengar butir bicara seterusnya dari Kak Asma’. Walaupun hanya dua baris syahadah yang sudah lama kita ucapkan, namun bagai sekarang baru mengenalinya.

“ Sembahan itu besar maknanya. Menurut Abul A’ala Al-Maududi, sembahan itu membawa pengertian sebagai benda yang bila dengannya kita menjadi tenang. Dengannya kita menyandarkan perlindungan, selalu rindu dan terkenang-kenangkannya dan selalu bangat terkenangkannya ..”

Alahai, bagai merindu seorang kekasih pula. Maka dengan makna sembahan yang inilah membuatkan Abu Jahal dan pembesar lain juga menolak dengan sekeras-kerasnya syahadah. Walaupun mereka sangat-sangat faham, lebih faham dari kita!

Tanpa sedar, kenanganku yang telah luput dari hidupku, bagai berputar-putar kembali dalam ingatan. Bermain bagai layar di panggung wayang.

***

Umur aku ketika itu masih muda, muda remaja. 18 tahun ketika itu. Saat dimana darah muda hangat mengalir dalam tubuh. Saat kawan adalah segalanya, bukan keluarga. Saat di mana diri mengharap di kasihi seorang insan bukan sejenis bernama lelaki. Mengikat hubungan yang dinamakan cinta bersamanya.

Cinta yang aku faham ketika itu tiada lain hanya cinta untuk sang kumbang. Belajar cinta dari televisyen, dari novel-novel, dari masyarakat sekeliling. Maka ketika itu aku menterjemahkan cinta mengikut tafsiranku sendiri. Hari-hari bergelumang dengan kata indah, hati yang selalu berbunga-bunga, bak kata nenek moyang, ‘makan tak kenyang, mandi tak basah’.

Hari-hari yang aku lalui bagai suatu keasyikan. Yang ada di mata, dalam pandangan setiap masa hanyalah dia, insane yang aku cinta.

Tetapi Allah itu Maha Penyayang. Allah tarik aku yang ketika itu menjadikan sang kumbang itu Ilah dalam hidup aku ketika itu.

Dua tahun berlalu, dua tahun juga aku mengikat cinta dengannya. Takdir Allah mendahului, dia pergi meninggalkan aku dan dunia buat selamanya akibat penyakit barah hati. Sedihnya tidak tergambar dek perasaan masa itu. Kolam air mata sudah kering, tidak mampu kutumpahkan air mata lagi.

Allah lah sebaik-baik perancang, aku mendapat tawaran belajar ke Negara Matahari Terbit. Sepatutnya aku pergi dengan gembira, dengan rasa bersyukur kerna terpilih dari sejumlah orang lain yang mendambakan peluang belajar sebegitu. Entah mengapa, sejak kehilangan dia..aku rasakan hidup aku bagai tidak bermakna.

***

Tanpa sedar, ada butir halus mengalir. Lama sungguh aku melayar lamunan. Teman-teman lain masih khusyuk mendengar pengisian di hadapan. Aku kesa air mata yang tumpah itu dengan hujung tudung. Seboleh-bolehnya aku tidak mahu ada yang perasan.

Air mata yang gugur, bukan lagi sedih dengan kehilangannya. Tapi aku menyesal dan sedih bila aku kenang saat itu. Sejak Kak Asma menerangkan makna Illah dalam kalimah syahadah itu, baru aku faham maksud yang sebenarnya.

“ Astaghfirullah, rupa-rupanya selama ini aku menjadikan dia sebagai Ilah menggantikanMu, ya Rab. Di mana ketika itu aku lupa padaMu. Yang memberi aku nafas, yang memberi aku segala macam nikmat. Tapi aku buta, aku tenggelam dalam nafsu. Menjadikan cintaku pada manusia melebihi cintaku padaMu. Malah zalimnya aku tanpa sedar menjadikan dia sebagai Ilahku”, aku bermonolog sendiri.

Bibirku tidak henti-henti mengucapkan tasbih dan tahmid kepada Allah yang menyelamatkan aku dari menjadi hamba cinta manusia. Yang sepatutnya aku salurkan seluruh cinta, seluruh pengharapan, seluruh pengabdianku kepada Allah.

“ Macam-macam Ilah tu boleh di tafsirkan dalam kehidupan kita. Contohnya jika ada yang terlalu asyik belajar sehingga menombor duakan Allah, maka belajar itu menjadi sembahannya. Bagi yang sibuk bekerja, menepikan hak kepada Allah, maka jaga-jaga, kerja itu juga adalah sembahannya. Dan bagi adik2 dan kawan2, begitu juga cinta kita pada makhluk. Jika melebihi, dan menghalang kita dari mencintai Allah, itulah yang menjadi Illah kita. Nauzubillah..”

Tidak semena-mena, hatiku terasa di jentik. Titisan jernih mengalir. Aku tertunduk, mendiamkan diri.

***

“ Akak nampak, awak menangis masa Kak Asma’ beri pengisian tadi. Kenapa, ada apa-apa yang tidak kena ke?”, Kak Nawfal merapati aku dan nada suaranya rendah bagai berbisik padaku. Aku membalasnya dengan senyuman, tanpa sebarang kata. Pantas tanganku mencapai seketul shirome fry dengan sepit dan menghidangkannya dalam piring kecil atas dulang. Salad, hirisan timun, beberapa tomato kecil bersama dengan goma-dressing nampak begitu menyelerakan. Aku memberi isyarat pada Kak Nawfal untuk duduk semeja denganku. Ada sesuatu ingin ku sampaikan.

“ Kak, pertama sekali, terima kasih sangat-sangat. Akak ajak saya ke program Autumn Gathering di Nigata ini. Saya dapat jumpa kawan-kawan yang dah lama saya tak jumpa. Saya dapat berkenalan dengan kakak-kakak dan teman-teman lain. Saya rasa tenang sangat bila ada dalam suasana sebegini..”

Kak Nawfal memandang dengan pandangan yang menyejukkan hati. MasyaAllah.

“ Berterima kasihlah pada Allah yang mengerakkan hati, yang membawa langkah awak ke sini. Bayangkan, dalam berapa ratus ribu orang yang sebaya awak di Malaysia, awak yang terpilih untuk belajar ke Negara Matahari Terbit ini. Dan dalam ribuan mereka disini, awak yang Allah pilih untuk ke Autumn Gathering. Alhamdulillah.. “, Kak Nawfal mengalihkan rasa terima kasihku kepada Allah. Dia merendahkan hati , mengingatkanku bahawa yang datang itu semua dari Allah.

“ Baru saya tersedar, kak. Ilah saya selama ini bukan Allah. Mungkin secara pandangan luar saya belum pernah tinggalkan solat, saya baca al-Quran. Tetapi dahulu dalam hati saya penuh dengan ingatan dan kasih saya pada makhluk. Bila saya dengar maksud sembahan yang sebenarnya tadi, saya rasa amat takut. “, ada sedikit getar dalam nada suaraku. Kak Nawfal sebenarnya sudah aku beritahu tentang kisah silamku.

“ Tak mengapa, Allah itu sangat sayangkan awak. Sebab itu Allah takdirkan untuk awak kehilangan dia. Sebab Allah cemburu lihat awak terlalu cintakan makhluk. Sedang Allah itu setiap saat sangat menantikan hambaNya untuk mengingatinya. .“, kata-kata Kak Nawfal bagai air sejuk yang menyejukkan tekak yang kehausan. Aku tersenyum lebar.

“ Kak, pimpin saya kak. Pimpin saya pada jalan Allah. Saya berazam nak menyembah Allah. Tak nak dah Ilah lain dalam jiwa saya. Saya nak perbaiki diri”, usai aku menyatakan hasratku, Kak Nawfal menggenggam erat tanganku.

“ InsyaAllah, sama-sama kita baiki diri kita. Kalau awak tak keberatan, akak ajak awak untuk turut serta dalam liqa’. Kawan-kawan sebaya awak pun ada. InsyaAllah, dari situ kita sama-sama didik diri untuk menjadi individu muslim yang lebih baik”. Aku tersenyum, senyumku menguntumkan harapan.

***

Hari ini merupakan hari terakhir setelah 3 hari berprogram di Niigata. Terasa terlalu berat hati ini untuk melangkah pergi untuk berpisah. Bagaimana hati yang baru berjumpa, boleh terus menyulam cinta. Belumpun berpisah, rindu sudah datang menerpa. Inilah keindahan ukhuwwah.

Kami membentuk sebuah bulatan, tangan teman-teman di kiri dan kanan aku rangkul erat-erat, tidak mahu lepas. Sama-sama mengalunkan lagu ‘Aku ingin MencintaiMu’ nyanyian Edcoustic. Irama lagu kami nyanyikan dengan sangat harmoni.

Dan air mataku, tumpah untuk kesekian kali..

Tuhan betapa aku malu
atas semua yang Kau beri
padahal diriku terlalu sering membuat-MU kecewa
Entah mungkin karna ku terlena
sementara Engkau beri aku kesempatan

Berulang kali
agar aku kembali
dalam fitrahku sebagai manusia untuk menghamba pada-MU
betapa tak ada apa-apanya
aku dihadapan-MU

Aku ingin mencintai-MU

setulusnya
sebenar-benar aku cinta
dalam doa
dalam ucapan
dalam setiap langkahku
aku ingin mendekatimu-MU
selamanya
sehina apapun diriku
kuberharap
untuk bertemu dengan-MU
ya Rabbi……

Keterikatan hati, yang dipateri dengan sedar bahawa penyaksian dalam dua kalimah itu harus di tunaikan. Dalam kesedaran, mahu memimpin ummah kembali kepada Ilah sebenar, cinta dan ukhuwwah adalah penguat. Mana lagi kalau bukan menagih cinta dari teman seperjuangan, yang bakal menemani , yang akan menopang jika hampir tersungkur di tengah jalan.

Teman-teman, tidak sabar rasanya mahu kembali bertemu. Aku sudah membenih cinta dan rindu, moga ketemunya kita di Fuyu Gathering Nagano nanti, Allah sudah sebati menjadi Ilah dalam jiwa kita .

***

Yang mengaku beriman itu, bila lagi mahu menyungkur sujud menyerah diri dengan sepenuh hati. ?

Allah sebagai Ilah. Tapi berapa ramai yang menidakkannya. Jika aku pernah meng’ilah’kan seorang manusia atas dasar cinta nafsu yang rapuh, bagaimana pula yang lainnya. Betapa setiap saat adakah kita, yang mengucapkan dua kalimah suci dalam rakaat terakhir setiap solat, sudah menunaikannya?

Pergantungan hanya pada Allah,

Rindu..rindukan Allah.

Tenang jiwa, hanya dengan mengingati Allah.

Namun, entah berapa ramai, sedang aku sendiri yang mendustakan.

“ Nikmat Tuhanmu yang mana lagikah mahu engkau dustakan?” , berulang-ulang di sebut dalam surah Ar-Rahman.

Aku mahu hanya Allah sebagai Ilahku. Bukan sembahan harta, bukan sembahan manusia, bukan sembahan hiburan dunia.

Lailaha Ilallah. Muhammadur Rasulullah.

dan air mataku tumpah, dan tumpah lagi..

Perihal Ukhuwwah

nukilan: ummu zaid

Bila berbicara tentang ukhuwah, ia bukanlah satu tajuk yang hanya cukup ditazkirahkan di dalam usrah atau disampaikan di dalam daurah, tamrin atau rehlah. Ia menuntut sesuatu yang lebih dari itu. Ia tidak cukup dgn hanya memberi tazkirah. Ia sesuatu yang dirasai kemanisannya. Dirindui dan dikenang-kenang bila kehilangannya, dengan niat menghidupkannya kembali, tidak betah seseorang itu begitu hebat bersyarah perihal ukhuwwah, andai dia sendiri belum pernah memberi ‘tiket’ ukhuwwah ataupun menerima ‘tiket’ ukhuwwah itu.


Apa itu ukhuwwah…

“Orang-orang beriman itu Ikhwah (adik beradik), maka baikilah hubungan di antara kamu dan bertaqwalah kepada Allah …” (Al-Quran).

Maka ukhuwwah itu adalah sisterhood.. ..

“Tidak beriman kamu sehingga Allah dan rasulnya lebih disayanginya dari selain kedua-duanya.” (Hadis).

“Tidak beriman kamu sehingga dia menyayangi temannya sepertimana dia menyayangi dirinya sendiri.” (Hadis)

Hassan Al-Banna menterjemahkan ukhuwwah dalam bahasa yang cukup indah dan basah..(hanya ‘basah’ bagi mereka yang betul-betul merasainya sahaja)

Apa Yang Saya Maksudkan Dengan Persaudaraan?

Persaudaraan itu ialah hati-hati dan roh-roh dihubungkan dengan ikatan akidah. Akidah adalah hubungan yang paling ampuh dan berharga. Persaudaraan adalah saudara iman dan perpecahan adalah saudara kufur. Kekuatan yang pertama ialah kekuatan perpaduan. Perpaduan tidak akan wujud tanpa kasih sayang. Rasa kasih sayang yang paling rendah ialah berlapang dada (bersikap terbuka) dan paling tinggi ialah mengutamakan orang lain (itsar)..

“Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya. (Al-Hasyr: 9)

Saudara yang jujur akan merasakan saudara-saudaranya lebih utama dari dirinya sendiri keranasaff segala hidupnya bersama mereka. Sedangkan mereka, jika tidak bersamanya akan bersama dengan orang lain. Serigala akan hanya menerkam kambing yang bersendirian. Orang mukmin dengan orang mukmin yang lain umpama bangunan yang saling kuat memperkuat antara satu sama lain.

“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain.” (Al-Taubah: 71)

Inilah yang sepatutnya kita lakukan.


Perihal ukhuwwah dalam memoriku…

Ana masih ingat lagi beberapa peristiwa yang membuatkan ana rasa cukup manisnya ukhuwwah. Lebih manis dari indahnya jatuh cinta buat kali pertama…

Pada suatu ketika, dalam satu liqa’, seorang ukhti meluahkan perkara yang telah lama terbuku dihatinya. Terasa berat olehnya sehingga tidak mampu dibendungnya lagi. ‘Meluahkan’ bukanlah sesuatu yang mudah bagi ukhti. Kerana ‘nature’ nya pendiam, pemendam dan kebiasaannya dibibirnya, hanyalah senyuman yang tidak pernah lekang tersulam…
Lalu dia bersuara…

●Ya Ukhti, berat ana ingin lafazkan… Namun ana tak mahu ia terus bersarang di dada, takut ukhuwwah ini lemah kerananya… Iman ini larut dalam bisikan jahatnya..’

□’Emm… Silakan ya Ukhti, ana sedia mendengar… .’

●Yang sebenarnya, waktu di program aritu… Ana amat terasa dengan ukhti…’

□’Astaghfirullahal ‘azim….., bila ya Ukhti? Ana minta maaf.. Ana tak perasan….di mana salah ana ya ukhti?’

●’Masa tu ana memang tak cukup tangan didapur… Rasa tak tertanggung lagi… Ana sendiri tak yakin dapat uruskan makanan untuk 500 orang… Ada barang yang tiada… Ada nasi yang tak cukup masak… Ada adik-adik yang datang kelaparan, belum sempat terjamu lagi… Orang lain di dapur tiada yang tetap..keluar dan masuk…
●’ Masa tu ana memang tak tau nak buat apa… Buat sekadar yang terdaya… Ana memang sangat-sangat harapkan pada enti … Sama-sama uruskan hal-hal dapur… Tapi enti tak putus-putus risaukan adik-adik enti yang di dewan sana… Takut mereka tiada siapa yang follow up.. Kadang-kadang enti hilang ke dewan.. Di saat-saat ana sangat perlukan enti…’

□’ Astaghfirullah. .. Ana memang tak sedar … Ana memang risau betul dengan adik-adik ana… Maafkan ana… Ana lupa orang yang paling hampir dengan ana… Afwan ya ukhti…

●’Masa tu ana memang sedih sangat dengan enti…tapi sebenarnya.. Silap ana juga… Mengapa ana harus mengharapkan kebergantugan pada manusia…sedangkan Allah kan Maha Kuat.. Silap ana juga ya ukhti.. Maafkan ana..

□’Ana yang salah … Maafkan ana… Ana mengejar yang jauh, sedang yang dikendong ini hampir keciciran… ‘

●Ana pun salah juga… Afwan.. Andai terlalu lama menyimpan dalam hati ya Ukhti…’

Tatkala ukhuwwah ini diuji Allah, walau hanya sedikit, dua jiwa atau roh yang tertaut atas jalanNya yang merasa, merana dan terkesan olehnya. Selagi ia tidak diuji, manakan kita tahu sejauh mana kuatnya tautan keduanya. Kebergantungan seorang ukhti kepada seorang ukhti yang lain untuk mengemudi jalan dakwah ini tandanya perpaduan dan tidak mungkin perpaduan akan wujud tanpa kasih sayang seperti yang dinyatakan oleh Hassan Al-Banna.

Kekuatan yang pertama ialah kekuatan perpaduan. Perpaduan tidak akan wujud tanpa kasih sayang. Rasa kasih sayang yang paling rendah ialah berlapang dada (bersikap terbuka) dan paling tinggi ialah mengutamakan orang lain.’

Nah, kasihilah akhawat sekalian, sebagaimana antum kasihkan mad’u-mad’u antum…
Lebihkanlah akhawat sekalian, sebagaimana antum lebih-lebihkan masa antum, wang ringgit antum buat yang lain…
Kerana tanpa kasih sayang, lekanglah perpaduan dan ukhuwwah…
Dan paling sedih, sehingga tergadainya dakwah…
Pabila ada akhawat yang seorang demi seorang futur dalam perjuangan menuju Allah ini…

384aca423326193554b0949563908871Pada suatu ketika, setelah tamat program, lalu ana bersalaman dengan seorang ukhti ni.Erat sungguh genggaman tangannya. Hangat dan kemas pelukannya pada tubuh ana…lama ..senyap..tiada sebarang ucapan mahupun suara. Seolah – olah ingin menyampaikan segala yang tersimpan di dalam hatinya. Akhirnya dia berkata..

‘Ya Ukhti, KITA belum mampu kehilangan.. . Walaupun seorang ukhti….’

Berjujuran air mata ana. Begitu tinggi pengharapan ukhti ini pada ana. Ana tahu, bukan pada ana seorang, namun semua akhawat yang hadir ketika itu, pada antunna semua…
Saat ini dakwah KITA masih goyah. Ukhuwwah kita masih lesu.Taat kita masih boleh dipersoalkan. Tadhiyah kita masih minimun.Thiqah kita masih belum sempurna…
Namun ana pasti. Setiap dari kita berusaha untuk yang terbaik. Membentuk diri menjadi individu muslimah yang terbaik…

Continue reading

Aku Hanyalah Seorang Hamba

Aku melihat wajahku di cermin sekali lagi sambil membetulkan hijabku. Hari ini menjadi sejarah penting dalam hidupku. Hari ini aku berhijab bukan untuk menghadiri majlis kenduri arwah atau majlis bacaan yasin tetapi hari ini, selayaknya sebagai hamba yang lemah aku mentaati perintahNya.

Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman, agar mereka menjaga pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah menampakkan perhiasannya(auratnya), kecuali yang (biasa) terlihat. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kerudung ke dadanya,; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka atau saudara-saudara mereka atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam atau hamba-hamba mereka atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya. (An-Nur:31)

Bahtera yang sekian lama kulayari untuk sebuah misi mencari kebenaran jua ketenangan, akhirnya bisaku labuhkan sauhnya. Kegelapan pekat yang menghantui diri ini akhirnya ditembusi sinar keimanan dan ketaqwaan. Betapa selama ini, aku hidup dalam sia-sia tanpa tujuan dan matlamat yang pasti. Aku sibuk sekali mengejar kemewahan duniawi. Rumah besar, kereta mewah, pangkat tinggi, harta bertimbun-timbun namun kesenangan yang melimpah ruah itu tidak bisa memberikanku walau secebis ketenangan. Dan kerana itu, bermulalah kisah pengembaraanku di bumi Yang Maha Esa ini.


Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. (Az-Zariyat:56)

**********************************

“ Silakan cik muda,” kata Pak Hassan sambil membuka pintu kereta.

Tanpa membuang masa aku melangkah masuk. Semua mata yang ada di situ terus tertumpu pada kereta mewah milik papaku, Dato Muhammad Arshad Abdul Jamil.

“ Cepat Pak Hassan,” arahku.

Aku rimas sekali dengan keadaan ini. Semua merasakan betapa aku ini sangatlah bertuah kerana dilahirkan dalam sebuah mahligai indah lengkap dengan segala kemewahan dan kesenangan. Namun mereka tidak mengerti betapa hati ini terseksa, aku menderita gara-gara kemewahan itu. Aku sudah jemu dengan hidupku ini. Sejak kecil tidak pernah satu pun kemahuanku yang tidak dipenuhi. Pada masa itu aku rasa sangat bahagia dikelilingi dengan ‘barbie doll’ yang comel-comel, dipakaikan dengan baju-baju yang cantik. Namun kini, segalanya sudah berubah. Aku bukan lagi budak kecil yang boleh disogokkan dengan ‘barbie doll’ atau baju cantik, yang aku mahukan pada masa ini adalah sebuah ketenangan dalam keluarga yang bahagia.

“ Cik muda, makan malam dah siap,” kata Mak Kiah lembut.

“ Safi nak tunggu mama ngan papa,” balasku.

“Dato dan Datin balik lambat malam ni. Datin pesan jangan tunggu, makan dulu, ”kata Mak Kiah lagi.

“ Dahla, Safi tak de selera dah nak makan. Janji nak makan sekali. Safi tak percaya lagi janji mama,”bentakku.

Dari saat itu, aku benci mahligai itu. Mengikut rasa marah dan geramku, aku keluar untuk mengisi kekosongan hati ini. Bersuka-ria di kelab-kelab malam, berparti sampai ke subuh. Di saat itu, keresahan hatiku bisa kulupakan, namun ia hanya sementara. Setelah tamat keseronokan itu, aku kembali ke dalam dilema yang tak berkesudahan.

“ Dulu, cik muda tak macam ini. Tak balik lewat-lewat malam. Pak Hassan risaukan keselamatan cik muda,”tegur Pak Hassan lembut umpama seorang ayah.

Aku yang sememangnya telah menganggap Pak Hassan seperti ayahku terasa begitu terharu kerana perhatiannya kepadaku. Papa dan mama pun tak pernah bertanya ke mana aku pergi. Pada mereka, aku bahagia dengan segala macam kesenangan ini.

“ Safi mintak maaf sebab dah risaukan Pak Hassan. Safi buntu. Safi tak tau apa yang patut Safi buat sekarang. Hati Safi tak tenang. Papa ngan mama tak pernah nak ada dekat rumah. Kawan ramai pun tak guna jugak. Semua berkawan dengan Safi sebab Safi ni anak orang ternama, tak ikhlas pun,”aku meluahkan perasaan yang terbuku bersama juntaian air mata.

“ Safi tahu ke maksud ikhlas yang sebenarnya?”soal Pak Hassan.

“ Apa maksudnya? Honest….jujur…,” jawabku sambil mengesat air mata.

“ Minggu depan mula cuti semester UM kan?Apa kata Safi pergi bercuti ke kampung Pak Hassan dekat Kedah. Boleh tumpang rumah adik Pak Hassan, Mak Leha dan suaminya Pak Yusuf. Dekat situ nanti, Safi boleh belajar maksud ikhlas,”cadang Pak Hassan.

“ Hmmmm, elok jugak tu. Mungkin boleh terjumpa penawar untuk hati Safi ni dekat sana,”aku menyatakan persetujuanku.

*******************************

Pagi yang tenang lagi permai di negeri Darul Aman itu menyambut ketibaanku. Aku terus menuju ke sebuah bangku yang tersedia di stesen bas. Beberapa minit selepas itu, dua orang wanita berhijab serta berjubah menuju ke arahku.

“ Maaf Cik Safiyyah, ummi terlambat,”ucap wanita yang lebih berumur.

Aku sedikit terkejut. Setelah beberapa saat baru kusedari yang di depanku itu adalah Mak Leha dan anak perempuannya.

Mak Leha yang membahasakan dirinya ‘ummi’ itu membawa aku ke rumahnya. Sebuah rumah kampung yang sederhana besar dihiasi dengan pokok-pokok bunga, pohon-pohon hijau yang merimbun di sekeliling rumah menyajikan satu suasana yang nyaman. Dan bermula saat itu, aku menjadi sebahagian dari keluarga itu.

“ Kak Safi, jom kita solat Maghrib berjemaah. Abi ngan Abang Saiful tengah tunggu kita tu,” ajak Aishah yang sudah siap bertelekung sambil menghulurkan sepasang telekung kepadaku.

Solat. Jarang sekali aku mengerjakan tuntutan Rukun Islam yang kedua itu. Selepas meninggalkan asrama, solatku entah ke mana. Tiba-tiba rasa bersalah mencengkam hatiku.

“Perjalanan hidup kita di muka bumi sangatlah sekejap umpama kita berhenti rehat di plaza tol. Dan selepas itu, kita akan menyambung perjalanan kita untuk ke satu destinasi yang mana kita akan hidup di situ selamanya. Akhirat negeri abadi kita. Dunia hanya tempat persinggahan untuk mengumpul bekalan bagi menyambung perjalanan ke negeri abadi.Namun begitu, dunia ini diserikan dengan pelbagai macam nikmat yang bisa mengalpakan para musafir itu. Ramai yang lupa kepada destinasi yang ingin dituju itu. Terlalu asyik mengaut keindahan dunia hingga lupa siapa Pemilik segala keindahan itu. Mereka menjadi sombong,besar diri dan kufur kepada nikmat-nikmat itu.Ingatlah , kita bukan pemilik mutlak kepada setiap apa yang kita miliki. Allah yang Maha Kuasa boleh megambil balik segala kurniaan itu pada bila-bila masa. Dan kerana itu, kita harus bersyukur kepadaNya dan hanya kepadaNya kita meminta dan bergantung.”

Dan (amatlah baiknya) kalau mereka berpuas hati dengan apa yang diberikan oleh Allah dan RasulNya kepada mereka, sambil mereka berkata: Cukuplah Allah bagi kami; Allah akan memberi kepada kami dari limpah kurniaNya, demikian juga RasulNya; sesungguhnya kami sentiasa berharap kepada Allah.(At-Taubah:59)

Dan ingatlah ketika Tuhanmu memaklumkan “Sesungguhnya jika kamu bersyukur,nescaya aku akan menambahkan (nikmat) kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmatKu), maka pasti azabKu sangat berat.”(Ibrahim:14)

Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibumu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatu pun, dan Dia memberimu pendengaran, penglihatan dan hati nurani, agar kamu bersyukur. (An-Nahl:78)

Isi-isi tazkirah selepas solat Maghrib tadi berlegar-legar dalam ruang mindaku. Aku berasa seperti hatiku bagai dipanah petir. Hatiku bergetar mendengar setiap ayat suci dari Tuhan Rabbul Jalil.

Sudah hampir dua minggu aku di Kedah. Dalam masa itu juga banyak yang aku pelajari. Bersama ummi, abi, Aishah dan Abang Saiful membawa aku kembali kepada Tuhan yang satu. Dalam keluarga ini, aku dapat lihat betapa indahnya Islam itu. Tautan kasih sayang sesama mereka begitu erat. Di wajah mereka hanya terpancar senyuman mesra penuh ketenangan.

Pernah suatu malam aku terjaga dari tidur dan hendak ke bilik air. Aku melalui bilik ummi. Pintunya sedikit terbuka dan aku terlihat ummi dan abi sedang sujud penuh khusyuk kepada Sang Pencipta alam ini. Aku terus melangkah. Sampai di bilik Abang Saiful aku terdengar bacaan ayat-ayat suci. Langkahku terhenti. Aku terduduk di situ. Entah mengapa air jernih jatuh berderaian membasahi pipi.

Continue reading

Merdeka Vs Ramadhan

“Touchaku!”

 

 

 

Serentak gadis bersebelas itu bangun menurunkan bagasi mereka dari tempat meletak bagasi pesawat Air Asia dari Labuan itu. Mereka tersenyum puas, perjalanan jaulah yang penuh tersirat dengan seribu satu tarbiyah dari Allah Ta’ala. Setelah kesemua bagasi mereka diperoleh, mereka masing-masing menyatakan hala tuju setelah berpisah di LCCT KLIA. Ada yang ke utara tanah air, ada yang  sehingga ke selatan semenanjung. Masing-masing pulang ke pangkuan keluarga setelah genap lapan hari mereka merantau ke Pulau Borneo. Seorang demi seorang beredar. Akhirnya tinggallah tiga orang gadis di situ.

 

“Asiah. You akan ke mana selepas ini? Flight kitorang jam 4.30 petang nanti. Daijaoubu hitori de?” Tanya Fairuz. Asiah kelihatan temangu, mungkin terlampau keletihan. “Asiah.. daijoubu kana?” Tanya Atiyyah sambil memegang bahu Asiah setelah melihat rakannya diam tidak memberi sebarang respon. “humm.. entahlah. I tak plan apa-apa lagi. Niat asal mahu melawat kawan lama kat UIA Gombak. Tapi sekarang I rasa nak balik rumah sangat-sangat. Flight pula lagi tiga hari. Kalau ikut hati, rasa nak naik bas malam ni je. Entahlah..  I belum kimeru nak buat apa. Humm.. Jom la kita solat dan makan dulu” ajak Asiah.

 

Asiah kelihatan sangat tak bermaya. Hendak mengorder makanan pun sudah tak mampu. Dia rasa mahu terbaring di situ, kan best apabila dia membuka mata, dia sudah pun berada di rumahnya.

 

 “Ish berangan je. Magic carpet mana la sanggup hantar balik rumah Tak boleh jadi ni. Kena plan nak ke mana lepas ni..” Asiah menguatkan dirinya. Setelah selesai mengisi perut, Asiah meminta diri dari rakannya. “Asiah nak ke mana… Balik Kelantan ke malam ni? Naik bas?” Tanya Atiyyah meneka. Asiah tersenyum. “ Jangan la risau. InshaAllah I akan sms I kat mane nanti. Cuma sekarang I belum decide”. “Okkaylah. Take care tau Asiah. Ingat, sini KL, bukan Jepun. Text kitorang tau” Fairuz menambah. Setelah berpelukan, mereka berpisah.

 

Ukhuwwah luar biasa apakah yang mereka alami selama ini, sehingga mereka sangat mengambil berat dan mengutamakan satu sama lain. Asiah tahu dia tidak wajar membuatkan rakan-rakannya itu kerisauan tapi dia sendiri masih bingung. Entah mahu ke mana.

 

Baiklah, aku akan balik ke Kelantan malam ni juga. Sebelum tu, boleh singgah ke Jalan TAR sebentar. Masih ada buku berbaki yang aku mesti beli. Asiah melangkahkan kakinya ke stesyen bas Putra untuk membeli tiket. Dia diberi tiket, jam 10 malam. Alhamdulillah cukup masa untuk dia membeli buku dan solat nanti.

 

Asiah melangkah kaki ke dalam LRT, beberapa pasang mata melihat pelik ke arahnya. Ah, biarlah. Mungkin fesyen bajunya yang oldies. Asiah merenung kosong ke bangunan-bangunan yang menghiasi Bandaraya Kuala Lumpur yang menjadi kebanggaan rakyat Malaysia.

 

Ramadhan. Entah kenapa sejak menjejak kaki ke LCCT KLIA, Asiah terasa hambar. Ya!

Mungkin kerana tiada ruh Ramadhan yang menyapa sanubarinya sejak dari tadi. Tiada siapa yang pasti apakah 1 Ramadhan akan jatuh pada hari esok.

 

Allahumma ballighna Ramadhan. Allahumma ballighna Ramadhan. Berkali-kali Asiah membaca doa itu.

 

Dia memang merancang mahu ke UIA Gombak. Mahu merasa Ramadhan sebagai pelajar tempatan. Mahu berterawikh, bersahur dan berbuka bersama sahabat-sahabat lamanya dengan selesa dan sempurna . Tapi entah kenapa dia tidak menyukai “udara” di KL ini, dia mahu segera pulang ke bumi ulama’. Asiah mempercepatkan langkahnya, lagi sejam lebih sebelum Maghrib. Setelah berhenti di Stesyen Masjid Jamek, Asiah menuju ke Jalan TAR dan merayau-merayau mencari Pustaka Mu’min.

 

Asiah tenggelam dengan kitab-kitab tafsir dan buku ilmiah. Wang dalam kocek harus digunakan dengan sebaiknya. Maka buku Al-Fawaid karangan Ibnu Qayyim dan Jundullah oleh Sa’id Hawwa menjadi pilihannya. Baru mahu melangkah keluar, Asiah teringat belum membeli buku cerita untuk adiknya yang mula berminat mahu membaca buku-buku agama. Asiah masuk sekali lagi ke dalam Pustaka Mu’min. Dia mengambil masa memilih buku yang sesuai untuk adiknya.

 

Tiba-tiba Azan di radio kedai itu  berkemundang. Ya Allah, sudah Maghrib rupanya. Asiah harus lekas untuk mencari tempat solat. Lalu buku bertajuk Senyuman dan Kenangan Manis Bersama Rasulullah SAW terbitan Pustaka Nu’man itu terus diambil dan dibayar di kaunter. Cepat-cepat Asiah melangkah keluar. Nasib baik shopping compleks Sogo berdekatan di situ. Mesti ada surau, fikir Asiah.

 

Manusia masih penuh di jalanan. Ya Allah, pesta apakah ini? Asiah segera berjalan. Suara azan dari kedai buku itu sayup-sayup hilang, tenggelam dengan dentam dentum speaker lagu-lagu hits 90-an dari kedai-kedai di sepanjang jalan. Asiah makin keliru. Bukankah esok 1 Ramadhan, walaupun Penyimpan Mohor Besar Raja-raja belum mengisytiharkannya, tetapi sepatutnya orang ramai berada  di rumah atau mungkin di masjid, bersedia untuk berterawikh andai benar esok Ramadhan.

 

Kereta dan manusia sesak di jalanan. Apa yg mereka buat? Ke mana mereka menuju?

 

Akhirnya Asiah tiba di shopping compleks Sogo. Astaghfirullah ramainya manusia. Ibarat semut-semut yang mengerumumi gula.  Asiah kira hampir keseluruhannya adalah melayu muslim. Walaupun kebanyakannya tidak berhijab Asiah yakin mereka muslim. Dari restoran, bahagian pakaian, setiap aras penuh dengan manusia.

 

 

Ya Allah apa dah berlaku pada umatku? Kalau saja musuh islam melihat pesta ini pasti mereka akan ketawa terbahak bahak kerana berjaya mengelirukan kiblat muslimin. Entah ke mana maghrib mereka? Entah ke mana Ramadhan mereka?

 

Wahai ibu dan ayah yang memimpin anak anak mereka. Wahai anak muda yang menggalas harapan orang tua, tidakkah kalian sedar langsung malam ini adalah 1 Ramadhan?

 

Asiah merasa geram dan bodoh. Dia tak sepatutnya berada di situ. Lantas dia tercari-cari jasad yang mempunyai ruh untuk membantu menyelamatkannya dalam lautan manusia yang sesat ini. Namun yang kelihatan hanyalah jasad-jasad mati yang bergerak. Ya Allah I should not be here… aku mesti keluar segera!! Yang terdengar hanyalah jeritan dalam hatinya.

 

Asiah seolah-olah kehilangan akal. Asiah terasa seperti mahu buat open talk. Jihad lisan. Mengajak manusia kembali kepada kiblat yang satu. Sudahlah iblis dirantai bermulanya terbenam matahari  29 Shaaban… entah iblis apa lagi yang membelenggu kalian??

 

Hati Asiah sakit. Umat ini makin parah. Sang semut ini menyangka dengan mengumpul gula, ia boleh menjadi bekalan buat mereka seminggu sebulan. Tanpa disedari keperluan gula di dalam sarang mereka sudah melebihi jangka hayat mereka!

 

Asiah meneruskan langkah mencari rumah Allah. Asiah menegur seorang kakak berumur lewat 30an yang  sedang menunggu giliran ke toilet. Kak.. surau kat mana? Tak taulah. Balasnya tersengih. Kemudian Asiah mencuba lagi pada seorang kakak 20an, mungkin sebaya, mungkin tidak. Kak.. surau kat mane? Perempuan itu bingung tidak tahu. Hati Asiah mula terguris. Dia mencuba lagi, mungkin Asiah tersilap orang untuk bertanya. Kali ini Asiah bertanya pada seorang adik, kelihatan agak islamik dengan bertudung besar serta berjubah seluar. Adik… surau kat mane? Eh dalam ni takde surau agaknya, balas adik itu dan kawannya. Asiah gelisah. Dia yakin ada surau di situ, setiap shopping compleks pasti ada surau, cuma dia tidak tahu di mana. Andai tiada surau di situ, susahlah dia, mahu ke mana lagi untuk mencari surau.

 

Asiah berpatah balik ke pintu masuk. Terlampau ramai orang sehingga Asiah terpaksa berjalan perlahan-lahan melawan arus orang ramai yang tak pernah putus. Akhirnya Asiah sampai kepada pak guard. Pakcik.. surau di mana? Di B1. Alhamdulillah. Asiah melepas nafas lega. Sekali lagi Asiah terpaksa menempuh orang ramai untuk ke lift bagi ke B1. Lengang saja lift ke B1, setibanya di B1, tiada signboard ke surau. Ish, nak ke kiri ke, ke kanan.

 

Asiah bertanya pada seorang makcik lewat 50-an, makcik…surau belah mana? Oh, tak tahulah. Jawab makcik tersebut sambil sengih-sengih. Astaghfirullah. Sudah hampir tiba pun, masih tiada siapa yang tahu surau di mana. Mungkin mereka yang ditanya Asiah adalah pertama kali ke Sogo, atau mereka musafir sama sepertinya, atau, entahlah…. Asiah sudah lemah untuk bersangka baik. Mujur ada seorang lelaki terdengar pertanyaan Asiah. Sugha ko? Depe skek, belah kanan. Huh. Terkeluar loghat pantai timur jejaka itu.

 

Setelah berterima kasih, Asiah terus ke tempat yang dimaksudkan.

 

Allah!! Di sana orang ramai beratur untuk masuk ke surau. Asiah menunggu juga. Dia terpaksa berhimpit-himpit untuk ke tempat wudhu’, ada yang bersesak menunggu giliran solat di dalam, yang di luarnya pula sibuk beratur untuk menconteng kembali wajah mereka di cermin.

 

No no no!.. I cannot perform my solat here. If I do it here, Im not performing solat at all. What I will doing soon, just duduk bangun duduk bangun. Meanless. Asiah meletak bag paling hampir dengan tempat wudhu’. Selesai berwudhu’, tanpa masuk kerana langsung tidak ada ruang untuk Asiah masuk ke dalam surau, Asiah terus mengambil begnya lalu beredar dari situ. Mujur Asiah sentiasa membawa sejadah kecil untuk digunakan ketika solat. Habit Asiah ketika di Jepun, membawa kompas, alas sejadah dan botol kosong ketika bermusafir.

 

Asiah mencari tempat yang agak tertutup di tempat parking kereta. Asiah membentang sejadah nya lalu solat tanpa menghiraukan orang yang kadang kala lalu di situ. Allahu… Asiah sedih sangat. Dia terasa asing di bumi sendiri.

 

Usai solat, Asiah ke tempat lift, mahu segera keluar dari situ. Dalam lift itu hanya ada Asiah seorang. Corong lift itu seronok mendendangkan seruan “Merdeka! Merdeka!” Ya Allah, sedihnya hati. Betapa ramainya manusia di luar sana. Hanya dia seorang dalam lift ini yang sudah menunaikan seruan Allah. Entah apa yang dimaksudkan dengan “merdeka” mereka itu? Mudahnya mereka tertipu dengan syaitan nasionalisme dan patriotisme. Atau syaitan shopping?

 

 

Asiah sangat terkilan. Dia baru bertanya,  kak.. di mana surau?. Tetapi tidak siapa yang boleh menjawab. Kalaulah Asiah bertanya, kak… di mana tuhan?? Mahu terlopong saja mulut mereka.

 

Inilah hikmahNya, Allah mahu menunjukkan kepadanya akan realiti umat. Jika semasa jaulah, mereka ibarat berada di kayangan, seronok dan gembira bertemu dengan orang-orang salih, tetapi sebenarnya tugas yang mereka pikul amat berat sekali. Tenaga mereka amat diperlukan untuk menjalankan tugas kenabian yang langsung dilupai oleh orang ramai.

 

Asiah membeli roti dan terus beredar dari situ. Dari niat mahu makan di situ, Asiah jadi tawar hati lalu menukar haluannya. Dia tidak sanggup berada dari situ. Lebih lebih lagi apabila melihat keadaan umatnya. Sepanjang jalannya, Asiah menangis. Makin laju tangisnya apabila dia mendapat sms dari adiknya yang memberitahu, memang benarlah malam itu Satu Ramadhan. Asiah tidak menghiraukan lagi mata-mata yang memandangnya.

 

Setibanya di Stesyen Bas Putra, Asiah ke surau, menunggu waktu Isyak, lalu solat terawikh dan membaca Al-Quran. Hatinya tenang. Diselaknya helaian Qurannya, dia meneliti makna mashaf terjemahan di tangannya. Asiah menangis apabila ia membaca ayat ini…

 

108. Katakanlah (Muhammad), “Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan yakin. Maha Suci Allah dan aku tidak termasuk orang-orang yang musyrik.”

 

109. Dan Kami tidak mengutus sebelummu (Muhammad), melainkan orang laki-laki yang kami berikan wahyu kepadanya di antara penduduk negeri. Tidakkah mereka berpergian di bumi lalu melihat bagaimana kesudahan orang-orang sebelum mereka (yang mendustakan rasul). Dan sungguh akhirat itu lebih baik bagi orang yang bertakwa. Tidakkah kamu mengerti?

 

110. Sehingga apabila para rasul tidak mempunyai harapan lagi (tentang keimanan kaumnya) dan telah meyakini bahwa mereka telah didustakan, datanglah kepada mereka (para rasul) itu pertolongan kami, lalu diselamatkan orang yang Kami kehendaki. Dan siksa kami tidak dapat ditolak dari orang yang berdosa.

 

111. Sungguh pada kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran bagi orang yang mempunyai aqal. (Al-Quran) itu bukanlah cerita yang dibuat-buat, tetapi membenarkan kitab-kitab sebelumnya, menjelaskan segala sesuatu, dan sebagai petunjuk dan rahmat bagi orang yang beriman.

 

[Surah Yusuf, 12, 108-111]

 

Ya Allah… inilah jalanku. Selamatkanlah umatku!