Merindui dia..Insan pertama disisi Allah.

Berkumandangnya jutaan suara manusia, di belahan bumi bahagian Timur dan bahagian Barat, yang selalu diulang-ulang baik di pertengahan malam dan dikala siang hari: Tiada Tuhan Selain Allah, Muhammad Pesuruh Allah.

Berkumandangnya suara seperti ini selama empat belas abad lamanya, tidak pernah diam dan tidak pernah bungkam dan tidak pernah berhenti. Negara demi negara telah berganti. Keadaan demi keadaan telah bertukar. Tetapi seruan yang abadi itu tetap tidak berubah, seruan yang telah tertanam dalam hati nurani zaman.

Berkumandangnya suara-suara ini, adalah suatu bukti yang hidup, bukti yang berbicara, tentang kemenangan Muhammad ibn Abdullah.

Kemenangan itu diperoleh bukan dalam pertempuran, bukan dalam peperangan. Bukan menaklukkan Kota Makkah.

Bukan memerintah seluruh Jazirah Arab. Bukan menundukkan kedua empayar Kisra dan Kaisar. Tetapi ia adalah kemenangan universal yang telah masuk ke dalam tubuh kehidupan, mengubah jalannya sejarah, menukar nasib alam dan terpateri dalam hati nurani zaman.
Orang yang ingin mengetahui bagaimana kemenangan Rasul, dan bagaimana kemenangan Islam, maka ia hendaklah mempelajarinya dalam diri peribadinya, dalam tingkah lakunya, dalam sejarahnya dan dalam perjuangannya. Dengan begitu ia akan tahu bahawa jalan kemenangan itu jelas. Cara-caranya terdapat lengkap. Sebab-sebabnya jelas. Siapa yang ingin untuk mencapai kemenangan di masa mana saja dan di tempat mana saja, dapat menjadikan suri teladan pada diri Rasul s.a.w itu sendiri.

Muhammad ibn Abdullah telah menang.
Ketika para pemimpin Quraisy datang kepada bapa saudaranya Abu Talib untuk bertukar pendapat. Mereka meminta kepadanya untuk menawarkan kepada anak saudaranya, yang agamanya telah menggelisahkan mereka, mengacaukan adat kebiasaan mereka dan menggoncang dasar-dasar kepercayaan mereka. Mereka meminta agar Muhammad diam tentang mereka, tentang agama mereka. Untuk itu Muhammad boleh meminta apa yang dikehendakinya. Kalau mahu wang akan diberi. kalau mahu kekuasaan akan diberi kekuasaan. Ia boleh memperlakukan mereka sekehendak hatinya.

Muhammad ibn Abdullah telah menang, ketika ia mengucapkan di telinga mereka dan di telinga zaman, perkataanya yang abadi, yang timbul dari sumber-sumber keimanan:

“Demi Allah, hai bapa saudaraku! Jika mereka meletakkan matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku, denga maksud agar meninggalkan persoalan ini, saya tidak akan melakukannya, sampai Allah menjelaskannya atau saya hancur dalam melaksanakannya.” (Al-Hadith)

Ya Allah! Demikian hebatnya sampai menggoncang badan. Alangkah hebatnya gambaran alam semesta yang agung. Jika mereka meletakkan matahari di kananku dan bulan dikiriku. Bayangkan seperti ini terambil hati nurani alam semesta itu sendiri, bukan dari khayalan seorang manusia. Gambaran seperti ini dalah gambaran yang ditimbulkan keimanan yang mutlak dari lubuk dasar perasaan.

Semenjak dari saat itu, Muhammad ibn Abdullah telah menang. Ia telah menggoncang perasaan Quraisy dengan goncangan yang menjadikannya tidak dapat tegak dengan kukuh kembali. Itulah keimanan, kekuatan yang tidak dapat dikalahkan oleh apa saja di atas bumi, bila ia kalau telah tertanam dalam perasaan seorang manusia.

Muhammad ibn Abdullah telah menang, ketika ia telah berhasil menjadikan para sahabatnya r.a gambaran hidup dari keimanannya. Ia telah menang semenjak dari hari dimana ia telah membentuk masing-masing sahabatnya itu menjadi sebuah Al-Quran yang berjalan di atas permukaan bumi. Ia telah menang mulai dari hari ia menjadikan setiap peribadi menjadi contoh yang melambangkan Islam. Orang melihat kepadanya dan orang melihat Islam itu sendiri.

Ucapan Ja’far bin Abi Tholib ketika berhujah di depan Raja Najasyi;

Tuanku! Sesungguhnya kami dahulunya adalah kaum yang berada dalam keadaan jahiliyyah. Kami menyembah berhala dan memakan bangkai. Kami melakukan perkara-perkara yang keji. Kami memutuskan hubungan silaturrahim. Selain itu kami juga berlaku buruk kepada jiran. Yang kuat di kalangan kami membaham golongan yang lemah. Begitulah keadaan kami sehinggalah Allah mengutuskan seorang Rasul daripada kalangan kami yang kami kenali nasab keturunan, kejujuran, amanah dan keluhurannya.

Beliau telah mengajak kami kepada Allah, mengesakan dan menyembahNya. Beliau juga menyeru kami membuang segala benda yang kami dan datuk nenek kami sembah selain Allah, yang berupa batu-batu dan berhala-berhala.

Beliau turut memerintahkan kami agar bercakap benar, menunaikan amanah, menghubungkan silaturrahim, berbuat baik kepada jiran, meninggalkan perkara-perkara keji, berkata dusta, memakan harta anak yatim dan menuduh wanita-wanita baik melakukan zina.

Selain itu, beliau juga memerintahkan kami mengesakan Allah dan tidak mengisytiharkan Nya dengan sesuatu, menunaikan sembahyang, mengeluarkan zakat dan berpuasa pada bulan Ramadhan.

Dengan itu, kami telah mempercayainya. Kami telah beriman dengannya dan kami ikuti ajaran yang beliau bawa daripada Allah. Kami menghalalkan apa yang beliau halalkan kepada kami dan kami mengharamkan apa yang telah beliau haramkan kepada kami.

Betapa teringinnya diri merasai apa yang dirasai sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w..

Jauh sudah kita berjalan sahabat..

Atas nafas sebagai muslim..

Atas pengorbanan insan mulia bernama Muhammad..

Terima kasih Rasulullah s.a.w..

Tanpa Islam, kami tiada nilainya..

Advertisements

PnK: Imbas Kembali

Subhanallah, wal hamdulillah, wala ilaha illallah. Allahu akbar.

Tidak tergambar kalimat yang lain, melainkan kalimat puji2an buat Allah. Yang menggerakkan hati2 kami untuk ke program ini. Yang menggerakkan hati2 kami untuk bertemu dengan jiwa2 yang merindukan pertemuan keranaMu. Yang meringankan langkah dan gerak kami untuk ke sini. Meskipun jalan yang ditempuh, bukan mudah. Alhamdulillah untuk segala2Nya ya Allah.

16 Mei hingga 17 Mei, seperti mana yang sedia tertera dalam entri sebelum ini, program Palestin dan Kita diadakan di Hagi Seinen no Ie, Yamaguchi-Ken. Memandangkan aku menetap di Yamaguchi, bolehlah dikatakan bahawa kami ini ‘tuan rumah’. Meskipun perjalanan untuk ke sana sahaja memakan masa dua jam.

Barangsiapa yang meredah jalan untuk menuntut ilmu, Allah akan mudahkan jalannya ke syurga “ ( Riwayat Muslim )

Maka untuk menggapai jalan mudah ke syurga itu sememangnya bukan jalan yang senang. Kami yang dari Yamaguchi ini sahaja merempuh pelbagai halangan sepanjang 2 jam perjalanan. Meredah jalan yang sempit di kawasan hutan, turun naik bukit, sesat hingga dapat mengelilingi seluruh pulau. Agak bimbang juga dan terpalit rasa simpati pada Kak P yang memandu. Moga Allah limpahkan selautan rahmat dan kebaikan buatmu.

Alhamdulillah, tepat jam 11.00 pagi, kami tiba di Hagi Seinenno Ie. Rasa terharu bila melihat rombongan dari Okayama yang berbondong2 datang dengan 3 buah MPV. Seingatku, lebih 20 orang dari Okayama yang bakal turut serta. Rombongan dari Oita juga sudah selamat tiba. Apatah lagi yang dari Hiroshima yang khabarnya menaiki shinkansen untuk ke sini. MasyaAllah, tidak terbayang pengorbanan yang perlu mereka tempuh untuk ke sini. Bertolak seawal jam 5.00 pagi, belum dikira wang yang dibelanjakan…masyaAllah, Allah sahaja tahu betapa besar ganjaran yang dijanjikan buat kalian.

PALESTIN DAN KITA

Palestin dan Kita…

Tajuk yang menjadi pilihan untuk program ini. Menyingkap rahsia di sebalik apa yang menimpa Palestin sebagai titik yang bakal diketengahkan untuk menyingkap perkara yang lebih besar. Kerana tanpa sedar, isu Palestin hanyalah satu juzuk kecil daripada apa yang sebenarnya berlaku kini. Bagaimana bisa kita menganjak paradigma berjuang untuk Palestin jika pada akarnya kita masih belum bisa mengenal siapa kita sebenarnya.

Isu Palestin dipandang sepi. Itu jujur dari aku. Dipandang sepi dari dunia, malah dari saudara-saudara yang mengaku seagama termasuk aku yang ralit dan lupa. Sedang mereka yang di sana bertempur jiwa dan raga di bumi suci. Memandang Palestin sebagai bukan negara sendiri merupakan kesilapan yang besar hasil ketidak fahaman terhadap agama itu sendiri. Malah ini didorong oleh rancangan jahat Yahudi laknatullah untuk mengasing-asingkan umat islam menjadi bangsa dan negara yang berasingan. ( Idea pemisahan mengikut negara dan bangsa. Buku sejarah Tingkatan 5)

” Besar sangatke isu Palestin ni. Ada kaitan dengan kefahaman Islam ? “

Besar, memang sangat besar. Bila di suatu jihad, ada umat Islam yang diganyang habis-habisan, sedangkan di kawasan besar yang lain umatnya tidak mempedulikan. Bahkan terlampau asyik meneguk dunia yang sekejap. Berhibur, berkerja, hidup bagai robot yang mengulang-ulang perkara yang sama setiap hari. Yang suatu masa akan menemui mati, namun masih tidak tahu untuk apa dia diturunkan ke bumi. Inilah yang paling malang, yang paling rugi.

Hal ini tidak akan terjadi jika kita faham untuk apa kita berada di muka bumi ini. Bagaikan seorang pencipta yang punyai tujuan tertentu untuk ciptaannya, begitu juga kita ciptaan Allah ini.

Tidak tahu untuk apa kita dicipta?

Nah, kita kan punya modul dari Ilahi. Al-Quran dan Sunnah. Jika diteliti al-Quran itu, tujuan penciptaan kita ini hanyalah dua.

Ibadah,

dan khalifah

” Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepadaKu “
( Surah Az-Zaariyat 51 : 56 )

” Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat : Aku hendak menjadikan khalifah di muka bumi……..”
( Surah al-Baqarah 2: 30 )

Hamba?
Ya, tunduk dengan segala perintah Allah. Tinggal segala apa yang Allah larang.

Khalifah?
Ajaklah orang lain kembali memperhambakan diri kepada Allah. Tegakkan syariat Allah dimana-mana. Hingga bisa tertegaknya Islam sebagai tamadun di muka bumi. Berusaha sehingga seluruh alam sarwajagat tunduk kepada Allah.

Terkulat-kulat juga mahu menghadam gula-gula ilmu yang disampaikan. Kadangkala tertewas syahid dipertengahan semasa menadah telinga. Geli hati juga melihat ada yang tersengguk-sengguk menahan ngantuk. Tidak terkecuali, aku. Mata segar bugar kembali usai tamat slot. Aduhai~

Antara perkara yang tidak dapat aku lupa sepanjang program, bila diadakan sambutan hari lahir bagi mereka yang lahir pada bulan Mei. Usai tamat slot hari pertama, Akh Athif membuat pengumuman yang sambutan hari jadi diadakan bagi mereka yang menyambut hari lahir pada bulan Mei. Tiba-tiba dari pintu belakang, Kak Siti masuk sambil menatang kek keju yang dihias molek dengan whipping cream dan penuh ceri segar diatasnya. Terasa cemburu juga dengan mereka-mereka yang disambut hari lahirnya ketika itu. Tanpa nyanyian yang bukan-bukan, tanpa riuh rendah tepukan tangan tapi hari lahir disambut dengan ucap selamat dan doa. Lebih-lebih lagi diadakan di tempat sebaik ‘taman syurga’ dunia.

DI LAPANGAN PERANG BRIGED AL-AQSA DAN TENTERA YAHUDI

Demi mewujudkan rasa sebenar bagaimana kehidupan yang dilalui oleh rakyat Palestin, pihak urusetia program merancang aktiviti riadhah bercorak ‘war games’. Pihak peserta sebagai Briged Al-Aqsa, manakala pihak urusetia sebagai tentera Yahudi. Seawal jam 5.00 pagi kami berhimpun di dataran hadapan shizen no ie. Meskipun pagi itu diramalkan hujan turun, dengan awan mendung, cuaca yang sayu dan suram, masing2 bersemangat untuk bermain. Di kepala masing2, terikat kemas sehelai bandana yang seragam. Tanda semangat ingin berjuang. Senjata yang digunakan hanyalah air dan kertas yang digumal berfungsi bagai batu bila dibasahkan dengan air. Pihak urusetia menyerahkan panji kepada Briged Al-Aqsa. Tanda permainan bakal bermula.

Hujan gerimis mula turun renyai-renyai. Sebaliknya semangat ingin bertempur semakin membara.

Di check point pertama, para peserta yang bergerak dalam kumpulan masing-masing, perlu menjawab soalan-soalan yang dikemukakan urusetia yang bertindak sebagai Yahudi. Menjawab soalan perlu mengikut masa yang ditetapkan. Jika tidak, maka dalam kumpulan perlu dikorbankan seorang sebagai tawanan. Yang mana tawanan tersebut perlu diikat tangannya oleh ahli kumpulannya sendiri.

Di check point kedua, peserta diuji dengan ujian kelasakan. Berlari merentas halangan dalam masa yang singkat. Seakan-akan berada ditembok pemisah, sudahlah disoal siasat, jika mahu merentas tembok halangan juga, perlulah merempuh kesusahan yang menyakitkan. Teringat kata-kata akh yang menyampaikan slotnya semalam,

” Tembok pemisah ini sungguh menyiksakan. Bayangkan jika ingin merentas masuk, bukan sahaja perlu merentasi ketinggiannya, malah perlu juga merentas kawat duri. Tidak cukup dengan itu, ada pula wayar renjatan elektrik. “

Bahkan tembok ini sebenarnya dibina dalam Palestin . Tembok yang memisahkan antara penduduk-penduduk Palestin sendiri. Terbayang penderitaan rakyat Palestin yang terpisah antara satu sama lain.

Sebaik sahaja tamat dikedua-kedua check point, tibalah masa untuk bertempur di check point ketiga. Sementara pihak Briged Al-Aqsa merancang strategi bertempur, pihak urusetia yang memainkan peranan sebagai Yahudi mengambil tempat persembunyian. Sebaik sahaja permainan bermula, pertempuran sengit berlaku. Aku yang bersembunyi disebalik pohonan agak pelik bila pihak lawan masih belum kunjung tiba. Bila ku intai, pihak Briged al-Aqsa masih tidak berganjak dari tanah lapang. Mereka bertempur habis-habisan di situ. Pihak Yahudi menyerang dengan ‘bom surat khabar’. Maka serangan itu dibalas secara bertalu-talu oleh pihak Briged al-Aqsa. Ramai Yahudi yang tewas bertempur. Pihak Briged al-Aqsa mara ke hadapan. Sekelip mata mereka berjaya memacakkan panji kebanggaan. Terbukti pihak Islam menang menentang lawan.

Bila diminta seorang wakil dari peserta untuk membuat ulasan tentang ‘war games’, ulasannya benar-benar menarik hati

” Sewaktu kami merancang strategi, kami dah bersetuju untuk bermain di tanah lapang berbanding lari bersembunyi. Biar semua bersatu hati. Nampak sahaja teman yang di serang, cepat-cepat kami selamatkan. Lagipun, kami sudah agak tentu urusetia tidak berminat bermain di tanah lapang dan ramai yang bersembunyi di tempat lain..”

Ujarnya sambil tergelak kecil. Aku juga terasa geli hati memikirkan musuh yang ditunggu tidak tiba-tiba. Rupanya mereka punyai strategi yang cekap. Bukan seperti kami yang tidak merancang dengan terperinci. Mungkin juga didorong semangat untuk menyerang hendap seperti yang disaksikan di kaca televisyen. Sedikit sebanyak terselit rasa kagum bila mereka menyatakan rasa bersatu hati dan sama-sama melindungi. Ya, permainan ini hanyalah permainan. Mana tahu bisa menebak hati-hati,untuk merasa betapa gentingnya saudara kita yang bertarung hidup di sana.

BOM TOPOGRAFI

Rasa kagum bila Akh A menyatakan yang stuktur HAMAS yang begitu licik. Walaupun diserang bertubi-tubi oleh pihak Yahudi laknatullah, walaupun ramai yang terkorban, masih ramai juga tentera mereka. Kelicikan strategi mereka sehingga angka yang masih ada tidak dapat dikenal pasti. Bila Akh A mengimbau kembali peristiwa hitam yang berlaku pada awal tahun ini, rasa sebak mengenangkan ribuan yang syahid di Palestin. Nampaknya Yahudi benar-benar kaum yang penakut, malah pengecut! Menyerang insan yang lemah dan tidak berupaya, dalam tembok pemisah yang mereka bina sendiri. Sudah pastilah penduduk di dalamnya tidak dapat lari menyelamatkan diri.

Namun, perancangan Allah adalah sebaik-baik perancangan. Dan semangat jihad mereka terutamanya wanita-wanita masih utuh. Walaupun mereka tidak bisa mengangkat senjata, mereka punyai bom yang ampuh. Mereka membina bom topografi!

Tidak dinafikan, dalam serangan awal tahun lalu, begitu ramai yang terkorban. Akan tetapi, maha suci Allah, Palestin mencatatkan kadar kelahiran berganda, 2 kali ganda melebihi angka yang syahid. Bersemangat para ibu untuk melahirkan bakal pejuang. Tidak tergambar rasanya bagaimana anak yang dilahirkan nanti dibesarkan dalam suasana yang menuntut mereka untuk berjihad. MasyaAllah, pasti hebat anak itu!

SELAMAT TINGGAL PnK!

Tepat jam 2.00 petang, hari kedua merangkap hari terakhir program, maka PnK melabuhkan tirainya. Dua hari berprogram, walaupun jika dikira secara jam, hanyalah 24 jam program berjalan, bila terisi dengan sesuatu yang bernilai, maka serasaku masa nya lebih dari 24 jam. Tanpa sedar, selain mengisi dada dengan ilmu dan penghayatan, terbina juga sebuah hubungan. Aku yang sebelum ini hanya mengenali beberapa nama sebelum ini, bila dapat bersama di PnK ini, terasa begitu erat sekali. Sudah pastilah saat ini merupakan saat yang sayu bagi kami.

Sebelum menamatkan program, kami sama2 berganding tangan. Lagu doa rabithah dimainkan. Satu-satu lirik lagu yang merupakan doa disebut dan dihayati.

” Aku tidak berseorangan, inilah teman-teman yang bakal memimpin tanganku dalam satu barisan. Moga kami diberi kekuatan untuk berjuang. Satukanlah hati kami…”

Butir-butir harapan berbunga di hati.

Tasbih kafarah dan Surah Al-Asr dibaca. Masing-masing bersalam dan berpelukan sebelum pulang. Hujan gerimis yang turun bagai tahu perasaanku yang sayu.

” Moga kita dapat bertemu lagi. Pertemuan kita tidak bernoktah di sini, insyaAllah kita bakal bertemu lagi…”

Moga berjumpa lagi di ‘taman syurga’ akan datang, insyaAllah

p/s: maaf ya, entri kelihatan ‘individual’ kerna ditulis sebagai diari. Moga yang baik itu dapat kita manfaatkan bersama ya!

TOK JANGGUT : Antara Cukai, Feudalisme dan Nasib Dunia Islam

Saya yakin ramai yang mengenali Tok Janggut. Tetapi berapa ramai yang benar-benar tahu tentang kisah hidupnya? Kewujudan Tok Janggut dan perjuangannya pasti ada kaitan dengan nasib malang yang menimpa umat Islam seluruh dunia ketika itu, iaitu kejatuhan Khilafah Uthmaniyyah pada tahun 1924.

Cuba fikirkan, betapa selama ini sejarah kita telah diputar belit oleh zionis kuffar. Mereka berjaya mengalihkan pandangan seorang pelajar sekolah, bahawa perjuangan seorang Tok Janggut adalah kerana mempertahankan kuasa politik tradisional dan membantah cukai semata, sedangkan beliau sebenarnya mempertahankan Al-Haq! Malah mereka telah berjaya melabel dan menanamkan dalam pemikiran kita bahawa Tok Janggut adalah penderhaka dan pemberontak.

Zionis kuffar telah berjaya memanipulasi pemikiran umat islam di nusantara ini (baca: gugusan kepulauan melayu), bahawa tahap tertinggi dicapai bagi seorang Islam adalah apabila ia telah berjaya dan selesai mengerjakan haji ke makkah al-mukarramah. Pemikiran ini telah ditanam dari nenek moyang kita sehinggalah ke generasi hari ini. Walhal sebagai seorang muslim, ia wajib menjalankan tugas khalifah, iaitu memastikan seisi alam ini menyaksikan syahadah yang agung, Laa ilaaha Illallah, Muhammad Rasululullah. Itulah kemuncak ustaziatul ‘alam yang wajib dilaksanakan bagi seorang Islam. Dan Tok Janggut adalah antara figure yang cuba menjalankan kewajipan syahadah ini.

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً

“Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi.” [Surah Al-Baqarah, 2:30]

Di bawah ini disertakan bahan perkongsian yang dipetik dari laman web raykinzoku yang ditulis oleh Tengku Ahmad Zarir, seorang graduate dari Kinki University, Osaka.

Penulis asal berharap agar lebih ramai orang akan mengenali Tok Janggut bukan kerana gambar jasad beliau diperlakukan oleh Inggeris, tetapi kerana keberanian dan kematangannya dalam berjuang
demi agama dan bangsa.

Tok Janggut …….
atau nama sebenar, Haji Mat Hassan bin Panglima Munas.
Syahid pada hari ini 24 Mei,
dalam perjuangan menentang penjajahan Inggeris,
di Jajahan Pasir Puteh, Kelantan,
93 tahun yang lampau ……
Al Fatihah …..

Dahulu, lebih kurang tiga tahun yang lepas, saya pernah mencatit satu entri khas berkenaan Tok Janggut.

Apa yang asalnya diniatkan sebagai satu catitan kasual, sebagai menyempurnakan hajat seseorang, telah dengan tidak semena-menanya mendapat tumpuan ramai sehingga sendat dengan ratusan komen menyatakan minat. Dalam banyak banyak komen yang saya perhatikan, tidak kurang ada yang menarik, yang menyebabkan saya merenung kembali kisah perjuangan Tok Janggut, contohnya seperti komen ini :

i am an amateur historian. thank you for the write up. your photos will be useful
for those researching on Kelantan and its history. i had the privilege of meeting 2 of Tok Janggut’s grandson. they are proud their grandfather was a shahid. history has downplayed the extent and significance of the fight between tok janggut and the administrators then. it was a jihad of the muslims against the british rule.

Merenung kembali, memang benar sejarah kurang berlaku adil kepada Tok Janggut. Kisah perjuangan Tok Janggut, walaupun kini diabadikan dalam lembaran sejarah tanahair, disanjung dan diajar di sekolah, dirasakan seolah-olah masih atau sengaja dibiarkan tergantung. Tidak keterlaluan jika saya katakan, seolah-olah sama sebagaimana yang diperlakukan oleh Inggeris terhadap jasad Tok Janggut di Padang Bank.

Apa yang saya maksudkan dengan ” tergantung ” di sini adalah bila mana rata-rata sumber utama rujukan sejarah ( authorized sources ), dalam menghuraikan kronologi dan sebab musabbab kepada kebangkitan Tok Janggut, hanya mengutarakan faktor permasalahan cukai dan faktor kehilangan kuasa politik pembesar Melayu tradisional ( feudalisme ) sebagai punca.

Di sini, saya petik beberapa contoh dari huraian Arkib Negara Malaysia dan buku teks sejarah Tingkatan Lima sebagai bukti :

Campurtangan British di Negeri Kelantan pada awal abad keduapuluh telah menyebabkan berlaku beberapa perubahan dasar sistem pentadbiran di negeri tersebut.

Pihak British telah memperkenalkan sistem-sistem cukai yang baru yang bercanggah dengan kebiasaan rakyat tempatan dan telah melantik pegawai-pegawai untuk menggantikan tempat pembesar-pembesar daerah tradisional.

Kewujudan alat-alat pentadbiran dan campurtangan pihak British dalam pentadbiran Negeri Kelantan ini telah menggugat kedudukan pembesar-pembesar daerah serta menimbulkan kemarahan mereka yang selama ini memiliki banyak keistimewaan.

From :
Arkib Negara Malaysia : Hari Ini Dalam Sejarah Online : ” PERANG TOK JANGGUT “

184532791

* Buku Teks Sejarah Tingkatan 5 ( KBSM ), Dewan Bahasa & Pustaka, Cetakan Keempat 2006, Percetakan Watan Sdn Bhd ( Nota : Perenggan berkaitan di ” highlight ” bagi memudahkan rujukan. )

Sebenarnya, apa yang dinyatakan oleh sumber sumber di atas tidaklah bersalahan dengan apa yang benar benar telah berlaku. Cuma, secara peribadi, menyampaikan kisah Tok Janggut dalam konteks perjuangan membantah cukai dan kehilangan kuasa politik tradisional, bukan sahaja mengabaikan butiran penting lain dalam kronologi kejadian malah dirasakan mampu memberikan implikasi negatif kepada perkembangan minda generasi muda. Seolah-olah menyatakan bahawa bangsa Melayu berasal dari kelompok yang kedekut dan taksub dengan feudalisme. Apakah sebenarnya yang ingin dibuktikan melalui huraian sedemikian ?

Sedar atau tidak, dengan pentafsiran sedemikian juga, kita telah berjaya menyempurnakan agenda penjajah Inggeris tanpa mereka sendiri perlu bersusah payah menyempurnakannya. Sejarah membuktikan bahawa penjajah Inggeris sememangnya mahu perjuangan Tok Janggut digambarkan sedemikian, kerana mudah bagi mereka melabel beliau sebagai penjenayah dan pengkhianat ( tidakkah kita selalu diajar, membantah arahan pihak berkuasa adalah satu jenayah ? ) …..

…. dan sejarah juga membuktikan bahawa dengan menonjolkan Tok Janggut sebagai seorang penjenayah dan pengkhianat, mereka telah berjaya mengalihkan perhatian orang Melayu Islam dari memikirkan isu global berkaitan umat Islam yang sedang hangat ketika itu !

Laporan berikut, yang dipetik dari akhbar The New York Times, bertarikh 15 November, 1914, menjelaskan usaha awal Inggeris untuk memastikan orang Melayu terus terserkup di bawah tempurung :

17708716

Source :
The New York Times Online Archive, 15 November 1914 ( PDF format here )

Menurut laporan di atas, pada 14 November 1914, Sultan Kelantan ( Sultan Muhammad IV, 1900 ~ 1920 ), telah mengeluarkan jaminan taat setia kerajaan Kelantan kepada Inggeris ekoran Perang Dunia Pertama di Eropah.

Inggeris pada masa itu, sedang berperang dengan kerajaan Turki Uthmaniyyah yang bersekutu dengan Austria-Hungary dan Jerman. Inggeris telah menekan pihak istana untuk mengisytiharkan solidariti bersama – tindakan yang mengecewakan Tok Janggut lantas memilih untuk bangkit sendiri menentang Inggeris …..

Tetapi mengapa Kelantan ? Mengapa Turki Uthmaniyyah !?

Perlu diingatkan bahawa pada masa itu, kerajaan atau empayar Turki Uthmaniyyah dianggap oleh kebanyakan umat Islam di dunia, termasuk juga di Kelantan, sebagai pelindung serta pemimpin ummah. Kebetulan pula di Kelantan, hampir keseluruhan penduduk adalah beragama Islam bermazhab Shafie ( dinyatakan di situ, ” Shaffa Mohammedanism ” ) dan kuasa politik adalah di tangan pemerintah beragama Islam ( walaupun di bawah pengaruh Inggeris ).

Walaupun demikian, itu bukanlah perkara yang paling dirisaukan oleh Inggeris. Inggeris lebih gusar dan khuatir akan hakikat hubungan dan pergantungan Kelantan dengan Timur Tengah dari sudut ideologi dan politik, yang telah berlangsung sejak berkurun lamanya. Ramai rakyat Kelantan berulang alik ke Makkah untuk menuntut ilmu, menunaikan ibadat Haji dan tidak kurang juga ada yang memiliki kepentingan di sana. Tok Janggut berada dalam kelompok ini, seorang terpelajar yang pernah menuntut ilmu dari Pattani hingga ke Makkah. Kebetulan juga, Makkah ketika itu merupakan wilayah Turki Uthmaniyyah, yang pastinya sedang marak dengan propaganda anti-Inggeris ketika Inggeris sedang berperang dengan Turki. Inilah yang dirisaukan oleh Inggeris.

Continue reading