Jom kenali Imam Nawawi

 

Ramai di kalangan kita yang mengetahui nama Imam an-Nawawi. Betapa tidak? Hadis 40 susunannya menjadi bahan utama di dalam halaqah dan usrah. Namun adakah semua kita mengenali beliau dengan sebenarnya?
Nama beliau ialah al-Hafiz Abu Zakariya Yahya bin Syaraf.
Dilahirkan pada bulan Muharam 631 hijriah di desa Nawa, sebuah kampong yang terletak di Bukit Gulan, Damsyiq. Di situlah beliau membesar dan menghafaz al-Quran.
Kembara ilmu


Menceritakan pengembaraannya mencari ilmu, beliau menulis: ketika berusia 19 tahun, aku dibawa oleh ayahku ke Damsyiq pada tahun 649 hijriah. Aku memasuki sekolah ar-Rawahiyyah selama dua tahun. Selama itu aku tidak pernah meletakkan badanku di atas bumi (tidak baring) dan tidak makan kecuali makanan yang disediakan oleh pihak sekolah.
Beliau mempelajari 12 matapelajaran sehari di hadapan mahagurunya dalam pelbagai ilmu: usuluddin, fiqh serta usulnya, hadis serta mustalahnya, lughah dan mantiq (ilmu bahasa dan lojik)
Suatu peristiwa luar biasa telah belaku semasa Imam an-Nawawi berusia 7 tahun. Ayahnya menceritakan bahawa malam itu adalah malam 27 Ramadan. An-Nawawi tidur di sebelahnya. Tiba-tiba dia terjaga dari tidur di pertengahan malam sambil berkata: “Ayah, cahaya apa yang memenuhi rumah kita sekarang?” Mendengar suaranya, kami terjaga tetapi kami tidak nampak apa-apa cahaya. Maka aku yakin bahawa itu adalah Lailatul-Qadar.
Seorang yang arif bernama Ustaz Yasin bin Yusuf az-Zarkasyi berkata: aku pernah melihat Syaikh (an-Nawawi) ketika beliau berumur 10 tahun di Nawa. Kanak-kanak seusianya memaksanya bermain dengan mereka sedangkan dia enggan. Dia lari dari mereka dan menangis kerana mereka memaksanya. Dalam keadaan itu dia asyik membaca al-Quran. Maka aku jatuh hati padanya. Aku bertemu dengan guru yang mengajarnya al-Quran dan berpesan kepadanya supaya menjaga budak ini dengan baik. Aku berkata kepadanya: “Budak ini diharap akan menjadi orang yang paling alim dan paling zuhud di zamannya. Dan manusia akan banyak mendapat manfaat daripadanya.” Guru itu berkata kepadaku: “Adakah engkau seorang ahli nujum?” Aku menjawab: “Tidak. Tetapi Allah yang izinkan aku berkata begitu.” Guru itu menyampaikannya kepada ayahnya. Maka dia sangat mengambil tentangnya sehingga dia khatam menghafaz al-Quran sebelum mencapai usia baligh.
Antara karamah yang dianugerahkan Allah kepadanya ialah, sekiranya tidak ada pelita untuk digunakan ketika mengarang, jarinya akan bercahaya meneranginya dengan izin Allah.

Penguasaan an-Nawawi dalam pelbagai bidang ilmu

An-Nawawi dianugerahi ilmu yang luas dan mendalam dalam pelbagai bidang. Antaranya:
1. Ilmu fiqh. Beliau merupakan pakar rujuk dan menjadi tumpuan dalam ilmu fiqh Mazhab asy-Syafi’ei
2. Ilmu mengenai Matan Hadis dan nama-nama rijal (perawinya), yang dikenali sebagai Ilmu Riwayah dan Dirayah. Dia merupakan orang pertama pada zamannya yang menguasai ilmu tersebut.
3. Menghafaz, menekuni dan mengkelaskan Hadis Rasulullah s.a.w. Beliau mengetahui dengan mendalam Hadis yang sahih, yang tidak sahih serta sanadnya.
4. Beliau merupakan faqih muhadditsin dan muhaddits fuqaha’, iaitu seorang yang faqih dari kalangan ahli hadis dan seorang ahli hadis dari kalangan fuqaha’. Bahkan boleh dikatakan bahawa an-Nawawi adalah menara ilmu pada zamannya yang menjadi tumpuan dan rujukan tanpa saingan, tanpa pertikaian.

Peribadi yang unggul

Seorang yang sangat warak, zuhud dan sentiasa muraqabah Allah di mana jua dan dalam keadaan apa saja. Kerana terlalu menjauhi perkara syubhah belaiu tidak makan kecuali makanan yang dihantar oleh ayahnya dari kampungnya sendiri. Di samping ilmu dan waraknya Imam an-Nawawi juga terkenal dengan kegigihan menjalankan amar makruf dan nahi mungkar. Beliau berdepan dengan raja dan pemerintah, menulis surat kepada mereka memberi peringatan supaya berlaku adil terhadap rakyat, membatalkan cukai yang berlebihan dan memulangkan hak kepada tuannya. Kata Abu al-‘Abbas bin Faraj, Imam an-Nawawi telah mencapai tiga darjat yang mana setiap satu darjat itu tidak mampu dicapai oleh manusia biasa kecuali dengan usaha yang sangat gigih.
Darjat pertama: ilmu
Darjat kedua: zuhud
Darjat ketiga: amar makruf dan nahi mungkar.

Karya

Beliau telah menghasilkan berpuluh-puluh kitab dalam bidang fiqh, hadis dan lain-lain. Antara hasil tulisan beliau yang masyhur:
1. Syarah Muslim
2. Riadhus-Solihin
3. Al-Azkar
4. Al-Arba’un an-Nawawiyyah wa Syarhuha
5. Tahzib al-Asma’ wa al-Lughat
6. Tabaqat al-Fuqaha’
7. Bustanul-‘Arifin
8. Dan lain-lain…

Wafat

Di penghujung usianya beliau kembali ke tanah tumpah darahnya setelah selesai menunaikan haji dan menziarahi al-Quds. Beliau telah jatuh sakit di sisi dua ibu bapanya dan kembali ke rahmatullah pada malam rabu hujung bulan Rejab tahun 676 hijrah.

Dipetik dari:
Kitab al-Idhah fi Manasik al-Hajj wa al-Umrah, karangan Imam an-Nawawi rahimahullah.

(dipetik dari blog ustazah maznah ; http://zaadut-taqwa.blogspot.com/ )

Advertisements

Merindui dia..Insan pertama disisi Allah.

Berkumandangnya jutaan suara manusia, di belahan bumi bahagian Timur dan bahagian Barat, yang selalu diulang-ulang baik di pertengahan malam dan dikala siang hari: Tiada Tuhan Selain Allah, Muhammad Pesuruh Allah.

Berkumandangnya suara seperti ini selama empat belas abad lamanya, tidak pernah diam dan tidak pernah bungkam dan tidak pernah berhenti. Negara demi negara telah berganti. Keadaan demi keadaan telah bertukar. Tetapi seruan yang abadi itu tetap tidak berubah, seruan yang telah tertanam dalam hati nurani zaman.

Berkumandangnya suara-suara ini, adalah suatu bukti yang hidup, bukti yang berbicara, tentang kemenangan Muhammad ibn Abdullah.

Kemenangan itu diperoleh bukan dalam pertempuran, bukan dalam peperangan. Bukan menaklukkan Kota Makkah.

Bukan memerintah seluruh Jazirah Arab. Bukan menundukkan kedua empayar Kisra dan Kaisar. Tetapi ia adalah kemenangan universal yang telah masuk ke dalam tubuh kehidupan, mengubah jalannya sejarah, menukar nasib alam dan terpateri dalam hati nurani zaman.
Orang yang ingin mengetahui bagaimana kemenangan Rasul, dan bagaimana kemenangan Islam, maka ia hendaklah mempelajarinya dalam diri peribadinya, dalam tingkah lakunya, dalam sejarahnya dan dalam perjuangannya. Dengan begitu ia akan tahu bahawa jalan kemenangan itu jelas. Cara-caranya terdapat lengkap. Sebab-sebabnya jelas. Siapa yang ingin untuk mencapai kemenangan di masa mana saja dan di tempat mana saja, dapat menjadikan suri teladan pada diri Rasul s.a.w itu sendiri.

Muhammad ibn Abdullah telah menang.
Ketika para pemimpin Quraisy datang kepada bapa saudaranya Abu Talib untuk bertukar pendapat. Mereka meminta kepadanya untuk menawarkan kepada anak saudaranya, yang agamanya telah menggelisahkan mereka, mengacaukan adat kebiasaan mereka dan menggoncang dasar-dasar kepercayaan mereka. Mereka meminta agar Muhammad diam tentang mereka, tentang agama mereka. Untuk itu Muhammad boleh meminta apa yang dikehendakinya. Kalau mahu wang akan diberi. kalau mahu kekuasaan akan diberi kekuasaan. Ia boleh memperlakukan mereka sekehendak hatinya.

Muhammad ibn Abdullah telah menang, ketika ia mengucapkan di telinga mereka dan di telinga zaman, perkataanya yang abadi, yang timbul dari sumber-sumber keimanan:

“Demi Allah, hai bapa saudaraku! Jika mereka meletakkan matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku, denga maksud agar meninggalkan persoalan ini, saya tidak akan melakukannya, sampai Allah menjelaskannya atau saya hancur dalam melaksanakannya.” (Al-Hadith)

Ya Allah! Demikian hebatnya sampai menggoncang badan. Alangkah hebatnya gambaran alam semesta yang agung. Jika mereka meletakkan matahari di kananku dan bulan dikiriku. Bayangkan seperti ini terambil hati nurani alam semesta itu sendiri, bukan dari khayalan seorang manusia. Gambaran seperti ini dalah gambaran yang ditimbulkan keimanan yang mutlak dari lubuk dasar perasaan.

Semenjak dari saat itu, Muhammad ibn Abdullah telah menang. Ia telah menggoncang perasaan Quraisy dengan goncangan yang menjadikannya tidak dapat tegak dengan kukuh kembali. Itulah keimanan, kekuatan yang tidak dapat dikalahkan oleh apa saja di atas bumi, bila ia kalau telah tertanam dalam perasaan seorang manusia.

Muhammad ibn Abdullah telah menang, ketika ia telah berhasil menjadikan para sahabatnya r.a gambaran hidup dari keimanannya. Ia telah menang semenjak dari hari dimana ia telah membentuk masing-masing sahabatnya itu menjadi sebuah Al-Quran yang berjalan di atas permukaan bumi. Ia telah menang mulai dari hari ia menjadikan setiap peribadi menjadi contoh yang melambangkan Islam. Orang melihat kepadanya dan orang melihat Islam itu sendiri.

Ucapan Ja’far bin Abi Tholib ketika berhujah di depan Raja Najasyi;

Tuanku! Sesungguhnya kami dahulunya adalah kaum yang berada dalam keadaan jahiliyyah. Kami menyembah berhala dan memakan bangkai. Kami melakukan perkara-perkara yang keji. Kami memutuskan hubungan silaturrahim. Selain itu kami juga berlaku buruk kepada jiran. Yang kuat di kalangan kami membaham golongan yang lemah. Begitulah keadaan kami sehinggalah Allah mengutuskan seorang Rasul daripada kalangan kami yang kami kenali nasab keturunan, kejujuran, amanah dan keluhurannya.

Beliau telah mengajak kami kepada Allah, mengesakan dan menyembahNya. Beliau juga menyeru kami membuang segala benda yang kami dan datuk nenek kami sembah selain Allah, yang berupa batu-batu dan berhala-berhala.

Beliau turut memerintahkan kami agar bercakap benar, menunaikan amanah, menghubungkan silaturrahim, berbuat baik kepada jiran, meninggalkan perkara-perkara keji, berkata dusta, memakan harta anak yatim dan menuduh wanita-wanita baik melakukan zina.

Selain itu, beliau juga memerintahkan kami mengesakan Allah dan tidak mengisytiharkan Nya dengan sesuatu, menunaikan sembahyang, mengeluarkan zakat dan berpuasa pada bulan Ramadhan.

Dengan itu, kami telah mempercayainya. Kami telah beriman dengannya dan kami ikuti ajaran yang beliau bawa daripada Allah. Kami menghalalkan apa yang beliau halalkan kepada kami dan kami mengharamkan apa yang telah beliau haramkan kepada kami.

Betapa teringinnya diri merasai apa yang dirasai sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w..

Jauh sudah kita berjalan sahabat..

Atas nafas sebagai muslim..

Atas pengorbanan insan mulia bernama Muhammad..

Terima kasih Rasulullah s.a.w..

Tanpa Islam, kami tiada nilainya..